Thomas Tuchel mengatakan pengorbanan meninggalkan keluarganya demi menyahut cabaran menguruskan Chelsea begitu bernilai setiap hari selepas membimbing anak buahnya ke final Liga Juara-Juara ((UCL).

The Blues mara ke final buat ketiga kalinya selepas menumbangkan Real Madrid 2-0 untuk kemaraan agregat 3-1 bagi menempah tiket perlawanan akhir menentang pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, 29 Mei ini.

Dengan berbuat demikian, Tuchel muncul pengurus pertama dalam sejarah UCL dan Piala Eropah yang mara ke final buat musim kedua berturut-turut bersama pasukan berbeza.

Pengurus kelahiran Jerman itu membawa Paris Saint-Germain (PSG) ke final tahun lalu tetapi tewas 0-1 kepada Bayern Munich.

The Blues juga akan berentap dalam final Piala FA menentang Leicester City pada 15 Mei selain mendahului tiga mata ke atas West Ham yang berada di kedudukan kelima bagi perebutan kelompok empat teratas EPL.

Tuchel hanya kalah dalam dua daripada 24 perlawanan sejak mengambil alih tugasan itu pada Januari lalu apabila menegaskan dia pantas berasakan suasana di Stamford Bridge seperti di kampung halamannya.

"Setiap hari menjadi sangat berharga untuk mara sejauh ini," katanyamengenai pengorbanan yang dilakukannya.

"Sejak hari pertama lagi saya adalah sebahagian daripada kelab luar biasa, saya mendapat sokongan kuat sejak hari pertama bertugas."




Chelsea mendahului 1-0 menerusi tandukan Timo Werner pada minit ke-28 tetapi penyerang itu gagal memanfaatkan beberapa peluang menarik termasuk ketumpulan Havertz, Mason Mount dan N'Golo Kante.

Begitupun, Mount mengukuhkan kedudukan mereka dengan gol kedua di penghujung permainan untuk menjadi pemain Inggeris termuda kedua yang meledak gol dalam separuh akhir UCL -- pada usia 22 tahun dan 15 hari -- di belakang Wayne Rooney (21 tahun 182 hari).

"Kami selalu bersikap positif dan kami tidak pernah berasa kesal jadi ia sesuatu yang menyeronokkan. Tugas kami belum selesai, kami kini menjejakkan kaki dalam dua final jadi pengorbanan saya ini sangat berharga sejak hari pertama lagi."