Kelibat Mason Greenwood bermakna Manchester United telah membuat keputusan yang tepat untuk tidak menggantikan Alexis Sanchez dan Romelu Lukaku, kata Ole Gunnar Solskjaer.

Jaringan pertama Greenwood di peringkat senior membantu kemenangan 1-0 Manchester United ke atas Astana dalam perlawanan sulung Kumpulan L, Liga Europa, awal pagi tadi.

Penyerang itu menjadi sebahagian daripada skuad muda United yang turut menurunkan Tahith Chong dan Angel Gomes tatkala Marcus Rashford gagal menyudahkan beberapa peluang awal.

Dengan 17 minit lagi menuju wisel penamat, pemain berusia 17 tahun itu menghadirkan keceriaan tuan rumah sehingga mengundang pujian daripada pengurusnya itu yang menganggap prestasinya akan berkembang tanpa Lukaku dan Sanchez.

Greenwood muncul penjaring gol termuda dalam sejarah United di peringkat Eropah dan Solskjaer memberi isyarat bahawa kontrak baru bakal menyusul buat pemain remaja berbakat tersebut.

"Bagi saya, ia satu keputusan tepat yang diambil kelab ini dan dia akan menjadi penting bagi kami pada musim ini," kata Solskjaer dalam sidang akhbar.

"Dia belum banyak beraksi setakat ini tetapi dia akan mendapat minit permainan.

"Kami akan sentiasa berbincang dengan pemain muda tentang bagaimana kami melihat masa depan kelab dan Mason adalah antara projek kami."

Greenwood membuat permulaan keduanya buat kelab itu setelah mula diberi peluang dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), penghujung musim lalu.

"Jika anda melihatnya menyusup dalam kotak penalti, anda tahu akan ada sesuatu yang akan berlaku," katanya lagi.

"Dia boleh bermain sebagai penyerang atau di bahagian sayap dan penyudahnya (awal pagi tadi) melalui celah kaki penjaga gol adalah sentuhan yang baik.

"Memang wajar untuk dia diturunkan. Dia memiliki sentuhan semula jadi untuk menjaringkan gol dalam kawasan penalti, dia tahu bagaimana untuk melepaskan rembatan.

"Mungkin pada separuh masa pertama, percubaannya terlalu kencang atau mungkin dia harus melencongkannya sedikit tetapi sekilas pandang dia menunjukkan kemampuannya."

Bagaimanapun, pengurus dari Norway itu mengakui prestasi awal The Red Devils gagal memukau.

"Apabila anda tidak menjaringkan gol dalam babak pertama menerusi empat atau lima peluang terhidang, anda akan selalu tertanya-tanya jika ia akan menjadi salah satu malam yang menyaksikan anda akan dihukum," katanya.

"Saya tidak yakin kami akan memenangi perlawanan ini sehinggalah pengadil meniup wiselnya. Kami tidak bermain baik dalam baki 10 atau 15 minit dan anak buah saya perlu belajar mengenainya."