Kekalahan 3-0 di tangan Sheffield United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada pagi Ahad menyaksikan Chelsea kini dibolosi 49 gol selepas 35 perlawanan.

Meskipun di tangga ketiga kini, Chelsea adalah pasukan paling banyak dibolosi gol di kalangan empat pasukan teratas EPL.

Malah, jumlah gol yang dibolosi juga sama dengan pasukan di tangga ke-11, Everton.



Namun di sebalik kelemahan ketara di bahagian benteng, pengurus Chelsea, Frank Lampard masih mendapat sokongan bekas pemain tengah Chelsea iaitu Gus Poyet.

“Frank mengendalikan Chelsea dengan situasi sukar dengan larangan membeli pemain-pemain baharu dan terpaksa menggunakan pemain-pemain muda.

“Ia permulaan sukar buat Frank, jika pengurus lain menyertai Chelsea sudah pasti mereka diharapkan untuk menjuarai EPL.

“Kebiasaannya Chelsea sejak di era Roman Abramovich sentiasa membeli pemain-pemain baharu setiap musim.

“Ini adalah kali pertama sejak sekian lama, Chelsea menggunakan ramai pemain muda daripada skuad pelapis.

“Tidak adil menilai Frank sekarang, mungkin lebih wajar dia dinilai musim depan,” kata Poyet ketika menjadi tetamu Astro Supersport bersama Gary Stevens dalam siaran secara langsung aksi Sheffield United-Chelsea.



Pandangan Poyet turut disokong Stevens yang berasa ia sukar buat mana-mana pengurus yang baru pertama kali membawa pasukan di EPL.

“Ya Frank dari Derby di Liga Kejuaraan, tetapi Chelsea adalah pasukan di EPL, jadi dia masih dalam peoses menyesuaikan diri,” kata Stevens.

Dalam pada itu penyerang Chelsea, Tammy Abraham akui pasukannya tidak memulakan aksi berdepan Sheffield dengan Chelsea.

“Kami gagal menyempurnakan peluang gol, tidak cukup tajam dan tidak bangkit selepas Sheffield meraih gol awal.

“Kini kami tiada pilihan selain terus merakam kemenangan dalam baki perlawanan untuk ke saingan Liga Juara-juara Eropah,” kata Abraham.