Mikel Arteta percaya kad merah yang dilayangkan kepada Granit Xhaka ketika Arsenal tewas 0-1 kepada Burnley dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi adalah disebabkan pasukan itu terlalu mencuba untuk mengubah prestasi buruk mereka musim ini.

Arsenal tewas buat kali keempat berturut-turut dalam perlawanan liga di Stadium Emirates awal pagi tadi -- rekod terburuk kelab itu dalam liga divisyen utama sejak 1959 -- susulan Pierre-Emerick Aubameyang tertanduk masuk bola ke gawang sendiri gara-gara sepakan penjuru Ashley Westwood pada minit ke-73.

Tugas The Gunners mula sukar apabila pemain tengah, Xhaka, dilarahkan keluar padang sebelum sejam perlawanan kerena mencekik leher Westwood.

Ia merupakan kad merah keenam The Gunners sejak Arteta dilantik sebagai pengurus pada Disember 2019 -- sekali ganda berbanding pasukan lain sepanjang tempoh itu.

Arteta mengakui kelakuan Xhaka itu "tidak boleh diterima" tetapi enggan terlalu mengkritik pemain kebangsaan Switzerland itu, yang telah mengumpulkan tiga kad merah dalam EPL.

"Kami benar-benar mendominasi sehingga Xhaka diarahkan keluar padang," kata Arteta kepada BBC Radio 5 Live selepas Arsenal kini menduduki tangga ke-15 dengan hanya 13 mata.

"Perwatakan pemain amat luar biasa dan cara mereka bermain dalam beberapa ketika amat baik.

"Mereka benar-benar dan mungkin terlalu berkeinginan. Pada waktu yang penting, kami melepasi batasan itu sehingga seorang pemain diarahkan keluar padang. Dengan terlalu berkeinginan, ia bermakna mereka amat komited dengan apa yang kami cuba lakukan, mereka mencuba yang terbaik.

"Kami menggunakan tenaga yang kami ada dengan cara yang salah kerana pada waktu itu, kami lebih terdedah

"Kami sedar perkara seperti ini tidak boleh diterima dan pada waktu seperti ini, ia menjadi lebih buruk," katanya.