Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mengakui Paul Pogba tidak gembira tetapi menegaskan pemain tengah itu mempunyai kualiti untuk memberikan sesuatu buat pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.

Masa depan Pogba menjadi tumpuan ramai selepas ketua jurulatih skuad kebangsaan Perancis, Didier Deschamps, menyarankan agar pemain tengah itu tidak berpuas hati dengan situasinya di Old Traffford selepas bergelut untuk menemukan prestasi terbaiknya.

Daripada tiga perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Pogba hanya disenaraikan sekali dalam kesebelasan utama Solskjaer.

Pogba mencipta dua peluang dalam EPL dan ketepatan hantarannya masih di tahap 79.9 peratus selain mencipta tiga peluang dan dua bantuan jaringan dalam UCL.

Ditanya mengenai Pogba yang sedang dikaitkan dengan perpindahan ke bekas kelabnya, Juventus, dan juara LaLiga, Real Madrid, Solskjaer -- dalam satu temu bual menjelang perlawanan menentang West Brom awal pagi esok -- berkata kepada wartawan: "Kami sentiasa menerima soalan ini dan kami mencuba untuk menjawabnya sebaik mungkin.

"Saya fikir media adakalanya membesar-besarkannya dan mereka di rumah yang tidak mendengar keseluruhan temu bual akan lebih memperbesarkannya.

"Kami semua cukup berpengalaman untuk mengelakkan tajuk besar seperti itu.

"Saya sudah berbincang dengan Pogba mengenainya hari ini. Sudah pasti dia tidak gembira apabila dia tidak bermain dan tidak dapat bermain dengan baik.

"Dia tidak gembira dengan prestasinya. Dia bermain di posisi sama seperti dalam skuad Perancis, jadi ia bukan situasi yang berbeza.

"Ia tentang mendapatkan momentum dan rentak, dan seperti yang saya katakan sebelum ini, dia berasa amat kuat pada penghujung perlawanan dengan Portugal dan pada penghujung perlawanan dengan Sweden di mana ia sesuatu yang natural kerana dia dijangkiti COVID-19 dan memerlukan masa.

"Ia sama seperti pemain lain, mereka kelihatan lebih kuat dan cergas dan dia juga begitu.

"Akan sentiasa ada perbincangan mengenai pemain yang boleh bermain di posisi berbeza kerana mereka mempunyai kualiti untuk melakukan banyak perkara dan mereka boleh bermain di posisi berbeza.

"Paul juga seperti itu, dia boleh memainkan peranannya dan dia mempunyai kualiti untuk melakukan banyak perkara. Ia mengenai keseimbangan dalam pasukan, dalam kesebelasan utama yang anda pilih pada hari itu, itulah kuncinya.

"Dia boleh melakukan segalanya dan kini, lebih cergas dirinya, lebih banyak yang boleh dilakukannya," katanya.