Raheem Sterling berharap Manchester City dapat mara ke dua final untuk menamatkan musim ini.

Tatkala Liverpool sudah mengesahkan kejuaraan Liga perdana Inggeris, City berpeluang untuk menambah koleksi selepas meraih trofi Perisai Komuniti dan Piala EFL musim ini menerusi Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu akan berdepan Arsenal dalam separuh akhir Piala FA sambil memiliki kelebihan 2-1 ke atas Real Madrid dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara.

Sterling -- yang meledakkan gol ketika City membelasah Liverpool pada awal pagi semalam -- kini mengintai dua lagi final musim ini.

"Diharapkan, kami mampu ke final Piala FA dan Liga Juara-Juara," katanya.

"Kami adalah pasukan yang terlepas trofi liga dan telah mencuba sedaya upaya. Namun, kami akan lakukan yang terbaik dalam semua kejohanan termasuk Piala FA dan Liga Juara-Juara.

"Sukar untuk melihat Liverpool merampas kejuaraan liga daripada kami kerana mereka sangat cemerlang sepanjang tahun.

"Semalam, ia adalah satu lagi perlawanan tetapi kami mahu meraih keputusan terbaik. Dalam liga, kami perlu menang semua baki perlawanan untuk meraih kedudukan terbaik, begitu juga dengan Piala FA dan Liga Juara-Juara."

City akan bertandang ke Southampton untuk menyambung aksi liga, esok.