Tottenham Hotspur tidak akan memecat Mauricio Pochettino dalam ribuan tahun, kata bekas pengurus pasukan itu, Tim Sherwood.

Pochettino mengalami permulaan buruk dalam kempen musim ini dan ia semakin merudum selepas tewas 2-7 kepada Bayern Munich dalam Liga Juara Eropah dan 0-3 kepada Brighton and Hove Albion dalam Liga Perdana Inggeris minggu lalu.

Kekalahan di tangan The Seagulls itu bermakna Spurs menjunam ke tangga kesembilan liga dengan ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Sherwood, yang mengemudi pasukan itu selama lima bulan sebelum pelantikan Pochettino pada Mei 2014, percaya kedudukan pengurus dari Argentina itu masih selamat dan yakin Pochettino merupakan individu paling tepat untuk mengembalikan mereka ke landasan yang sepatutnya.

"Daniel Levy (pengerusi Tottenham) merupakan individu paling bijak dalam bola sepak, adakah anda fikir dia dalam keadaan waras akan memecat Mauricio Pochettino?" soalnya kepada talkSPORT.

"Dia mempunyai reputasi yang besar bersama kelab ini. Mustahil untuk dia memecat Mauricio Pochettino -- tidak dalam beribu tahun.

"Sekarang, jika Mauricio memutuskan bahawa dia sudah tidak mahu untuk meneruskannya dan tidak dapat membawa pasukan ini untuk pergi lebih jauh dan dia mahu berpindah ke tempat baru, saya masih fikir dia gila untuk melakukannya.

"Saya fikir dia individu paling sesuai untuk menggalas tugas ini.

"Saya tidak mahu dia berpindah, saya menggemarinya, saya menyayangi kelab ini.

"Segala-galanya amat hebat (di Tottenham). Semuanya berjalan dengan amat hebat buat Tottenham tetapi saya percaya amat berpatutan untuk mereka menamatkan musim ini di kedudukan empat teratas," katanya.

Tottenham akan melayani kunjungan Watford selepas waktu rehat antarabangsa, 19 Oktober ini.