Mauricio Pochettino dilucutkan jawatan pengurus Tottenham Hotspur, demikian disahkan kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Pochettino membawa era baru buat pasukan itu sejak menyertainya pada 2014 dengan dia turut memacu Spurs muncul naib juara Liga Perdana musim 2016-17.

Ia merupakan yang kedua daripada empat musim berturut-turut mereka menamatkan kempen dalam kelompok empat teratas, yang bermakna Spurs mengekalkan tempat mereka dalam Liga Juara-Juara Eropah sepanjang beberapa musim lalu selain tewas 0-2 kepada Liverpool dalam final di Madrid musim lalu.

Bagaimanapun, kejayaan itu, yang menyaksikan mereka menumbangkan Manchester City dan Ajax, masing-masing dalam suku akhir dan separuh akhir, mengganggu kempen domestik mereka dan ia masih belum dapat ditangani sehingga musim ini.

Keputusan seri 1-1 dengan Sheffield United sebelum waktu rehat antarabangsa meletakkan Spurs di tangga ke-14 liga dengan tiga kemenangan dan 14 mata daripada 12 perlawanan.

"Kami amat tidak mahu untuk melakukan perubahan ini dan ia bukanlah keputusan yang diambil ringan mahupun tergesa-gesa oleh pihak lembaga," kata Pengerusi Tottenham, Daniel Levy, dalam satu kenyataan yang turut mengesahkan tiga lagi jurulatih, Jesus Perez, Miguel D'Agostino dan Antoni Jimenez, turut akan meninggalkan pasukan itu.

"Malangnya, keputusan di peringkat domestik pada penghujung musim lalu dan awal musim ini amat mengecewakan.

"Ia memaksa lembaga untuk membuat keputusan yang sukar selepas apa yang disumbangkan Mauricio dan staf kejurulatihannya tetapi kami melakukannya demi kepentingan kelab.

"Mauricio dan staf kejurulatihannya akan sentiasa menjadi sebahagian daripada sejarah kami.

"Saya amat kagum dengan cara dia menangani waktu sukar di gelanggang lain ketika kami membina stadium baru dan setiap kehangatan dan nilai positif yang dibawanya kepada kami.

"Saya mahu berterima kasih kepadanya dan staf kejurulatihannya di atas setiap sumbangan mereka.

"Mereka akan sentiasa dialu-alukan di sini.

"Kami mempunyai skuad yang berbakat.

"Kami perlu mencari semula kekuatan dan memberikan musim yang positif buat penyokong kami," katanya.