Spekulasi perpindahan Salah bukan satu gangguan -- Klopp

By Muzaffar Musa 24 January 2021 1172
Spekulasi perpindahan Salah bukan satu gangguan -- Klopp
Jurgen Klopp menegaskan desas-desus mengenai masa depan bintang Liverpool, Mohamed Salah, tidak akan menjadi satu gangguan.

Salah masih mempunyai kontrak di Anfield sehingga 2023 tetapi masa depan pemain itu menjadi buah mulut selepas dia enggan menafikan kemungkinan untuk dia berhijrah ke Real Madrid atau Barcelona dalam satu temu bual AS bulan lalu.

Ketika Liverpool bergelut mencari ketekalan dan menduduki tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini, Salah telah menjaringkan 13 gol untuk mendahulu senarai penjaring terbanyak kejohanan itu.

Menjelang pertemuan dengan Manchester United dalam Piala FA awal pagi esok, Klopp berkata bahawa dia tidak pernah meragui tahap tumpuan Salah di sebalik spekulasi masa depannya.
 
"Ia bukannya dia keluar ke sana dan (secara suka rela) bercakap mengenai perkara yang kita fikir ia sesuatu yang penting. Amat jarang untuk ia berlaku," kata pengurus Liverpool itu kepada wartawan.

"Kami ditanya soalan dan kemudian kami menjawabnya dan apabila cerita itu keluar, ia sentiasa kelihatan seperti kami yang memulakan perbualan itu.

"Tetapi dalam kes Mo, ia tidak seperti itu, jadi tidak, saya tidak fikir ia akan menjadi satu gangguan musim ini," katanya.

Liverpool hanya memenangi satu daripada enam perlawanan terakhir menjelang kunjungan ke Old Trafford bagi menghadapi seteru mereka itu awal pagi esok.
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment