Pengurus United, Solskjaer, digesa untuk mendapatkan pemain baru minggu lalu selepas tewas kepada Crystal Palace di Old Trafford.
Bekas kapten Red Devils, Gary Neville, gandingan pertahanan tengah di antara Victor Lindelof dan Harry Maguire tidak cukup ampuh untuk mengejar gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Lindelof, terutamanya yang gagal bermain baik berdepan Palace, berkemungkinan kehilangan tempat dalam kesebelasan utama selepas Solskjaer kini meletakkan kepercayaan untuk menggandingkan kapten pasukan, Maguire dan bekas pemain Villarreal, Bailly.
Mereka digandingkan ketika menang 3-0 dalam aksi Piala EFL berdepan Luton Town dan akan diturunkan sekali lagi bertemu Brighton and Hove Albion malam ini.
Kekalahan 3-1 kepada Palace mungkin masih lagi menghantui United, tetapi Solskjaer cuba optimis terhadap saingan seterusnya.
"Saya berasakan musim lalu telah membuktikan kami boleh bertahan dengan sebaik mungkin. Minggu lalu bukanlah sesuatu yang baik, kami dibolosi dengan jaringan mudah, tetapi saya berasakan rekod pertahanan kami musim lalu dengan Eric dan Harry, kami melihat mereka mampu menghasilkan gandingan yang baik.
"Eric kembali cergas dan ia adalah bonus buat kami. Saya mahu melihat perkembangannya dan kami telah menantikan dia untuk kembali cergas dan bermain dengan lebih kerap."
?️ Ole: "Our record from last season shows how good we can be defending as a team.
— Manchester United (@ManUtd) September 25, 2020
"Eric is fit which is a big bonus for us, and we’ve been waiting for him to play more games."#MUFC #BHAMUN pic.twitter.com/2XyZx5HYdh
Solskjaer mahu United bertindak sebagai satu unit selepas kekalahan kepada Palace yang diinspirasikan oleh Wilfried Zaha, pemain yang sebelum ini beraksi di Old Trafford namun dibenarkan berhijrah keluar.
"Kami telah mengharungi minggu yang baik, sesetengah pemain menjalani latihan dan kami telah merekodkan perkara yang memberangsangkan.
"Kami berdepan Luton. Kemenangan yang diraih amat penting selepas apa yang telah berlaku minggu lalu."