Solskjaer puji pengaruh Martial: Ia seperti Anthony dulu-dulu

By Muzaffar Musa 8 March 2021 1045
Solskjaer puji pengaruh Martial: Ia seperti Anthony dulu-dulu
Ole Gunnar Solskjaer gembira untuk melihat Anthony Martial kembali ke prestasi terbaiknya ketika Manchester United mengungguli pertemuan 'derby' dengan Manchester City, terutama selepas penyerang itu nyaris terlepas perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Stadium Etihad awal pagi tadi.

Martial berdepan kegusaran mengenai kecederaannya dan tidak diturunkan ketika pasukannya terikat 0-0 dengan Crystal Palace minggu lalu berikutan kecederaan lutut.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Perancis itu mempamerkan aksi cemerlangnya ketika berdepan Manchester City, termasuk mendapatkan sepakan penalti yang disudahkan Bruno Fernandes untuk pasukan pelawat itu berada di depan seawal 101 saat pertama.

Luke Shaw kemudian menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-50 untuk The Red Devils menamatkan rekod 21 kemenangan berturut-turut milik pasukan jiran mereka itu dengan amat bergaya.

"Saya fikir Anthony amat cemerlang hari ini, lebih kelihatan seperti Anthony waktu lalu," kata Solskjaer kepada Sky Sports.

"Dan memandangkan terdapat keraguan untuk dia diturunkan pagi ini, sehingga dua jam sebelum perlawanan -- atau secara lebih tepat selepas sesi memanaskan badan. Saya tidak pasti dia dapat diturunkan atau tidak, sama seperti Luke.
 
"Hari ini, saya rasa dia (Martial) telah menemui dirinya semula. Dia amat kuat ketika memiliki bola, positif dan kami mempunyai pasukan yang positif.

"Kami mahu bermain dengan rentak yang tinggi, sudah pasti kami mahukannya tetapi kami juga bertahan dengan baik. Anda perlu bertahan supaya anda dapat menyerang apabila ruangnya tercipta," katanya.
 
Martial beraksi di posisi penyerang tengah selepas Edinson Cavani tidak dapat diturunkan dan dia menyempurnakan 95 peratus daripada hantarannya ketika sentiasa memberikan masalah buat pertahanan City.

Satu-satunya kekecewaan dalam perlawanan itu adalah di mana dia terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol dalam babak kedua -- satu jaringan yang selayaknya dengan persembahan baiknya.

"Apabila anda menang 2-0 di laman lawan dan tidak dibolosi, dan dengan persembahan seperti ini, anda pasti gembira," kata Solskjaer berkenaan persembahan pasukannya ketika menentang pendahulu liga itu.

"Kami sedar ia satu cabaran. Sudah pasti gol pertama kami banyak mempengaruhi apa yang berlaku di  atas padang.

"Kami boleh bermain lebih baik berdasarkan keputusan itu. Saya tidak gemar permainan kami sebelum waktu rehat, ketika kami bermain terlalu banyak berdasarkan keputusan itu, kerana kami sedang memenanginya.

"Dalam babak kedua, kami lebih banyak memegang bola dan gol kedua itu amat luar biasa," katanya lagi.
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment