Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mendedahkan Edinson Cavani "sudah tidak sabar-sabar untuk beraksi" bertemu Burnley, awal pagi esok, selepas selesai menjalani hukuman baru-baru ini sambil kelibat Paul Pogba diragui.

Penyerang itu digantung tiga perlawanan dan didenda £100,000 (RM549,123) oleh Persatuan Bolasepak (FA) berhubung gambarnya meraikan dua gol di Instagram sejurus mengalahkan Southampton 3-2 pada 29 November lalu.

Petikan mesej Cavani dalam bahawa Sepanyol itu telah disalah erti ekoran pertembungan budaya Amerika Latin dan Liga Bolasepak Inggeris (EPL).

Walaupun telah memadam mesej bergambar dan meminta maaf, tindakannya itu ditafsirkan sebagai mengandungi kata-kata berbaur perkauman.

Bekas penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu dalam prestasi baik sebelum penggantungan tersebut apabila menjaringkan tiga gol selain mencipta dua bantuan jaringan buat rakan sepasukannya meskipun hanya membuat dua permulaan dalam EPL.

Pemain antarabangsa Uruguay itu terlibat dengan jaringan dalam setiap 59.4 minit musim ini.

The Red Devils akan membuat perjalanan singkat ke Burnley yang muncul satu-satunya pasukan yang masih belum tewas di tempat sendiri musim ini dengan memenangi enam daripada tujuh perlawanan setakat ini.

Kemenangan ke atas skuad kendalian Sean Dyche itu akan menyaksikan United memintas Liverpool di puncak liga dengan kelebihan tiga mata -- yang akan dihadapi mereka tengah malam Isnin depan -- justeru Solskjaer tidak menolak untuk menagih sentuhan Cavani.

"Edinson berlatih dengan baik ketika menjalani hukuman," kata pengurus United itu dalam sidang media.

"Dia juga diberi cuti beberapa hari, kami tidak boleh mengerahkan terlalu banyak latihan kepada pemain. Dia sudah sedia untuk diturunkan.




"Dia menawarkan kami pilihan yang berbeza, dia pemain berbeza berbanding yang lain, jadi saya untuk seronok mendapatkannya semula, itu sebabnya kami membawanya masuk.

"Dia menawarkan sumbangan yang cukup baik setakat ini. Saya yakin dia akan menjadi tonggak yang sangat penting buat kami hingga akhir musim ini. Kami berasakan musim ini akan bermula malam esok."

Sementara itu, Pogba tidak muncul ketika United meraih kemenangan 1-0 ke atas Watford dalam Piala FA, Ahad lalu, namun Solskjaer belum dapat mengesahkan penglibatan anak buahnya itu di Turf Moor.

"Semua pemain berlatih hari ini," tambahnya.

"Paul dan Eric Bailly -- yang tercedera leher ketika menentang Watford -- tidak menjalani latihan penuh tetapi Luke Shaw dan Victor Lindelof sebaliknya.

"Jadi saya mempunyai banyak pilihan. Kami perlu pantau terlebih dahulu keadaan Paul dan Eric esok."