Ola Gunnar Solskjaer percaya kemaraan ke final kejohanan utama penting untuk budaya kemenangan yang dimahukannya di Manchester United.

United mara ke separuh akhir Piala FA selepas meraih kemenangan dramatik 2-1 dalam masa tambahan ke atas Norwich City di Carrow Road awal pagi tadi.

Odion Ighalo meneruskan rekod jaringannya dalam setiap perlawanan selaku kesebelasan utama sejak menyertai United secara pinjaman pada Januari lalu.

Todd Cantwell kemudian menyamakan kedudukan buat Norwich, yang kehilangan seorang pemain selepas Timm Klose dibuang padang, untuk perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Ketika perlawanan itu seakan-akan menuju ke penentuan sepakan penalti, Harry Maguire menjaringkan gol pada minit ke-118 yang membawa United ke penentuan separuh akhir di Stadium Wembley.

United tidak pernah memenangi sebarang trofi sejak Jose Mourinho membawa pasukan itu menjuarai Piala FA dan Liga Europa musim 2016-17.

Solskjaer, yang pasukannya masih belum tewas dalam 14 perlawanan berturut-turut, mahu melakukan perkara sama dan berasakan pengalaman untuk melakukan perkara itu amat penting buat pasukannya.

"Sudah pasti ia penting untuk ke final. Tahun lalu, kami layak ke suku akhir Piala FA dan tewas kepada Wolverhampton," katanya dalam sidang media.

"Kini, kami sekurang-kurangnya sudah berada dalam separuh akhir, kami sudah berada di Wembley.

"Untuk pasukan ini memenangi trofi pertama bersama-sama atau mara ke final bersama-sama, ia amat penting.

"Ia akan membantu budaya kemenangan kerana kami akan mula memenangi sesuatu," katanya.

Ditanya mengenai kepentingan Ighalo, Solskjaer menambah: "Amat penting. Saya fikir Odion tahu betapa kami menghargainya di bilik persalinan dan sudah pasti di atas lapangan.

"Dia seorang penjaring gol, seorang penyudah, kuat, kami boleh mengumpan bola kepadanya seperti yang berlaku ketika gol kedua, gol kemenangan itu, Paul (Pogba) menemuinya.

"Yang pertama, dia beraksi dengan baik tetapi yang kedua, ia juga membenarkan saya untuk melakukan penggiliran dengan Marcus (Rashford), Anthony (Martial) dan Mason (Greenwood), jadi mereka dapat berehat dan lebih segar dalam setiap perlawanan," katanya lagi.