CYRSTAL PALACE 0 MANCHESTER UNITED 0

Ole Gunnar Solskjaer khuatir dengan ketumpulan jentera serangan Manchester United selepas buntu tanpa jaringan ketika menentang Crystal Palace, awal pagi tadi.


The Red Devils seri buat kali ketiga tanpa berturut-turut apabila gagal merobek gawang Palace dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park, yang menyaksikan mereka terpisah 14 mata di belakang pendahulu, Manchester City, menjelang pertembungan 'derby', hujung minggu ini.

United merakamkan aksi seri keenam tanpa gol dalam liga musim ini -- iaitu mengulangi catatan tertinggi pada 2004-05 dan 2016-17 -- selain pencapaian tiga kali seri tanpa jaringan di bawah kendalian Louis van Gaal pada Oktober 2015.

Justeru, selepas perlawanan pengurus United itu mengakui gusar dengan situasi ini selain pasukannya hanya satu mata di tempat pencabar terdekat, Leicester City, selepas 27 perlawanan.

"Sudah tentu ia menjadi perhatian," katanya kepada Match of the Day.

"Oleh kerana kami sudah tiga perlawanan berturut-turut tidak dibolosi, ia sepatutnya boleh membantu memenangi perlawanan, namun kami tidak mempamerkan kualiti.

"Kami hanya perlu menjelmakan rentak, kualitinya untuk terus berusaha dan memenangi perlawanan ."

Dia menambahkan: "Ia situasi yang tidak bagus memandangkan kami sedar jika ingin melonjakkan carta liga, kami perlu menang. Kami harus menuntutnya, memenangi terjahan, berjuang dan membuat hantaran yang lebih baik. Tetapi kami kerap kehilangan bola.

"Tempo kemudian terjejas, sesekali ia berlaku. Pastinya ini bukan malam terbaik kami.

"(Pengurus Palace) Roy Hodgson sering dapat mengatur pasukannya untuk menjadi lawan yang sangat sukar dan inilah yang dibuktikan pada malam ini.

"Beberapa kali ketika kami memiliki peluang di posisi yang tepat, kami mencipta peluang yang baik tetapi saya rasa kami tidak layak mendapat lebih daripada satu mata."




Penjaga gol United, Dean Henderson, memulakan perlawanan susulan ketiadaan David de Gea yang diketepikan kerana alasan peribadi.

Pemain antarabangsa England itu menonjolkan aksi mengagumkan pertengahan minggu lalu dan mencuri tumpuan apabila menafikan percubaan Patrick van Aanholt pada lewat babak kedua.

"Dia adalah penjaga gol Man Utd, kadang-kadang anda harus terus fokus," kata Solskjaer kepada Sky Sports pula.

"Dia semakin berkembang di kedudukan itu. Saya berterima kasih kepadanya atas tindakannya memastikan kami meraih satu mata dan tidak dibolosi."

Ketika ditanya bilakah De Gea akan kembali, Solskjaer menjawab: " Ia berkaitan masalah peribadi. Ia akan memakan masa."