Ole Gunnar Solskjaer tidak pasti Mason Greenwood cenderung untuk menjadi seorang penyerang tengah.

Greenwood akan membuat penampilan yang ke-100 bersama Manchester United yang berusaha melengkapkan perjuangan mereka apabila menuju ke Stadio Olimpico untuk aksi separuh akhir Liga Europa berbekalkan kemenangan 6-2 ke atas Roma, awal pagi esok.

Penyerang berusia 19 tahun terbabit keluar dari bangku simpanan untuk kemenangan bergaya di Old Trafford minggu lalu sebelum dinafikan peluang untuk meneruskan prestasinya itu selepas protes yang dilancarkan peminat sebelum sepak mula berdepan Liverpool, hujung minggu lalu, untuk perlawanan berkenaan diaturkan semula pada Jumaat depan.

Greenwood sering memainkan peranannya di bahagian sayap kanan sepanjang dua musim ini, tetapi Solskjaer mengingatkan kecekapannya menghidu gol bukanlah satu-satunya aset untuk menjadi penyerang masyhur.





"Kami pernah berbincang mengenai apakah dia mahu menjadi pemain sayap atau nombor sembilan, ini kerana kami perlu menanam idealogi ini ke fikirannya.

"Dia seorang pemain muda yang bagus dan saya belum pasti sama ada dia mampu mencapainya.

"Jadi dia perlu terus berusaha, dia punya masa depan yang sangat cerah, saya yakin tentang itu."

Greenwood menyumbat 17 gol pada musim lalu, menyamai pencapaian terbaik pemain remaja kelab itu untuk setaraf dengan George Best (1965-66), Brian Kidd (1967-68) dan Wayne Rooney (2004-05 ).

Namun, musim ini dia berdepan laluan lebih berliku apabila sekadar menghasilkan 10 gol dalam 46 perlawanan.