Ole Gunnar Solskjaer percaya Mason Greenwood mungkin bertukar peranan sebagai pemain nombor sembilan di Manchester United pada masa depan, tetapi menggesa bintang remaja itu supaya menguasai tandukannya terlebih dahulu.

Greenwood, yang memukau sebaik diserapkan dalam skuad utama musim lalu, membuka akaun jaringannya untuk musim baru ini dengan jaringan lewat sebagai pemain gantian dalam kemenangan 3-0 ke atas Luton Town dalam Piala Liga Inggeris (EFL), semalam.

Pemain antarabangsa England itu membentuk tiga penyerang serangkai di samping Anthony Martial dan Marcus Rashford di penghujung musim lalu dan ada permintaan agar pemain berusia 18 tahun itu diberi peluang menggempur dari tengah berbanding meletakkannya di bahagian sayap.

Pengurus United itu tidak menolak peralihan itu boleh berlaku pada masa depan, namun berasakan ada beberapa aspek yang Greenwood harus kuasai sebelum dia menggalas peranan penting itu yang kini dimainkan oleh Martial.

"Dia melalui kempen yang hebat musim lalu dan kini mencetak golnya adalah penting baginya," katanya di laman sesawang kelab.

"Begitu juga dengan Marcus. Bagi seseorang penyerang, dia perlu mendapatkan keyakinan dan rentak meledak gol, untuk mendapatkan rasa lapar itu lagi.

"Jadi saya sangat gembira dengan jaringan itu, dia (Greenwood) hanya perlu berusaha untuk mendapatkan semula kecergasan dan ketajamannya."


Ketika ditanya mengenai posisi Greenwood, pengurus kelahiran Norway itu menambahkan: "Dia juga mampu beraksi sebagai penyerang tengah.

"Sebagai anak muda yang belum mencapai fizikal dewasa, adalah baik untuk menghadap ke arah depan daripada menjadi pemain nombor sembilan, dengan itu dia boleh membuat asakan dengan lebih kerap.

"Jadi saya fikir lambat-laun dia akan berakhir sebagai nombor sembilan juga akhirnya. Tetapi dia memiliki kawalan kaki kanan dan kiri yang baik, jadi dia boleh menyusup dari bahagian kanan dan kiri mahu pun melalui tengah.

"Saya juga meledak sebahagian besar gol saya dari luar kotak penalti, saya tidak semestinya menyerang di bahagian tengah.

"Untuk dia menjadi pemain nombor sembilan, dia harus belajar bagaimana untuk menanduk bola. Saya selalu berpesan kepadanya tentang aspek itu dan jika dia mahu menggilapnya, dia dipersilakan untuk datang dan berlatih dengan saya."

United akan menyambung aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Brighton & Hove Albion, Sabtu ini, dalam usaha memadam kekalahan kepada Crystal Palace dalam perlawanan pembukaan minggu lalu.