Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solaskjaer, akan berbincang dengan ketua pasukannya, Ashley Young, berkenaan laporan yang mendakwa pemain itu sedang menarik minat Inter Milan sambil menjangkakan tidak banyak aktiviti perpindahan pemain di Old Trafford sepanjang bulan ini.

Inter dikatakan bersetuju untuk menandatangani Young apabila kontrak pemain itu tamat penghujung musim ini dengan pasukan The Red Devils itu tidak boleh menjual sebarang pemain sepanjang jendela perpindahan ini kerana deretan masalah kecederaan.

Dikhabarkan United sudah menawarkan kontrak baru buat pemain berusia 34 tahun itu tetapi Solskjaer mengelak untuk mengesahkan perkara berkenaan dalam sidang media sebelum perlawanan menentang Norwich City malam ini.

"Dia salah seorang pemain kami, dia kapten kami," katanya kepada wartawan mengenai masa depan kapten pasukannya itu.

"Terdapat banyak spekulasi dan kami hanya perlu menanganinya -- kami sudah biasa menghadapinya di kelab ini -- dan Ashley amat profesional dan fokus, jadi saya tidak fikir ia akan berubah.

"Ia (masa depan Young) adalah perbincangan yang saya dan Ash akan lakukan jika terdapat sesuatu yang berbangkit.

"Kami tidak memiliki ramai pemain yang cergas dan bersedia, jadi kami memerlukan setiap pemain yang kami ada.

"Ashley amat-amat baik buat kelab ini, dia adalah kapten yang baik musim ini, jadi ayuh lihat di mana kedudukan kami pada Jun depan dan melihat kedudukan kami pada Februari juga," katanya.

Senarai kecederaan di bahagian tengah United telah menimbulkan ura-ura bahawa pasukan itu akan mengambil pemain baru.

Antara yang dikaitkan dengan perpindahan itu -- walaupun sudah menandatangani kontrak baru -- ialah pemain Sporting CP, Bruno Fernandes, tetapi Solskjaer menegaskan United tidak akan terlalu sibuk sepanjang jendela perpindahan bulan ini.

"Kita kembali kepada spekulasi," katanya ketika ditanya mengenai Fernandes.

"Itu adalah pemain kelab lain dan saya tidak boleh bercakap mengenainya.

"Kami masih berasakan seperti apa yang kami rasakan sebulan lalu, memiliki pemain yang kami ada, bekerja dengan pemain yang kami ada dan jika ada sesuatu yang berlaku, kami akan memaklumkannya kepada anda.

"Saya tidak bolah katakan ya atau tidak tetapi saya tidak menjangkakan banyak keluar-masuk (pemain). Tiada," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa