Kelab London Utara, Arsenal satu ketika dulu adalah antara pencabar utama kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sudah tentu peminat setia Gunners akan mengingati era skuad kendalian Arsene Wenger yang meraih tiga kejuaraan EPL, termasuk ketika musim 2003/04 yang menyaksikan Arsenal muncul juara liga tanpa sebarang kekalahan.

Namun sejak Wenger meninggalkan Arsenal pada 2018, prestasi Arsenal tidak seampuh dulu, malah mereka kini semakin sukar berada di empat tangga teratas EPL.

Pengganti Wenger, Unai Emery tampak mempunyai idea dan pendekatan sendiri namun selepas semusim mengendalikan pasukan, pucuk pimpinan Arsenal melerai ikatan dengannya pada November tahun lalu.

Arsenal kemudian dikendalikan bekas pemain tengahnya, Mikel Arteta dan mereka kini mula menunjukkan sedikit peningkatan.

Bagi bekas penjaga gol Arsenal Jens Lehmann, skuad kendalian Emery tidak mempunyai perwatakan juara.

Lehmann merupakan salah seorang tenaga kejurulatihan Arsenal pada musim terakhir Wenger mengendalikan pasukan, namun Emery menggantikan keseluruhan tenaga kejurulatihan apabila mengambil alih pasukan.

"Apabila saya imbas kembali saat saya bersama beberap kelab yang muncul juara sebelum ini, personaliti eksekutif kelab dan tenaga kejurulatihan cukup penting.

"Mereka perlu tahu kaedah terbaik meraih kemenangan dan ia bukan mudah kerana untuk meraih kejuaraan, anda perlu melalui pelbagai rintangan.

"Personaliti pengurus, ketua jurulatih cukup penting dan hanya segelintir mempunyai sentuhan juara dan kebanyakan orang tidak mempunyainya," kata Lehman dalam siaran terbaru Man On The Street (MOTS) yang akan ke udara pada 4 Jun, 9 malam di saluran Astro Superspors CH813.

MOTS adalah rancangan terbitan Astro Supersport yang memberi peluang buat peminat bertemu dengan pemain kegemaran mereka dan berbincang pelbagai topik.

Mengulas lebih lanjut mengenai Emery, Lehmann tanpa berselindung berasa pucuk pimpinan Arsenal melakukan kesilapan melantiknya sebagai pengurus.

"Dia [Emery] mahukan staf kejurulatihan dia sendiri, dia tidak boleh berturur bahasa Inggeris dengan baik.

"Dia memang tidak mahukan barisan jurulatih seperti saya yang merupakan bekas pemain.

"Ia satu tekanan buat Emery dilantik sebagai pengurus Arsenal kerana saya berasa dia tidak cukup bagus.

"Tidak cukup bagus kerana dia mempunyai masalah bahasa, dia mungkin ada idea bagus tetapi ia sukar diterjemahkan ke bola sepak Inggeris," kata Lehmann.

Only 2 sleeps to a brand new episode featuring Jens Lehmann!! #motsmy

A post shared by Man On The Street (@manonthestreet.tv) on



Lehmann melontarkan pandangannya sebagai anggota skuad Arsenal yang meraih kejuaraan EPL tanpa sebarang kekalahan pada 2003/04.

Kerana itu, bekas penjaga gol kelahiran Jerman ini tahu apakah ramuan yang diperlukan dalam membentuk sebuah skuad juara.

Kelibat Lehmann bersama skuad kebangsaan Jerman pula kerap dibayangi kehebatan penjaga gol lagenda Jerman ketika itu, Oliver Kahn.

Namun mengimbas kembali persaingan antaranya dan Kahn dalam skuad Jerman, Lehmann tiada kekesalan.

"Saya sedar yang saya perlu sentiasa bekerja keras ketika itu dalam skuad Jerman.

"Ia adalah keputusan barisan jurulatih dalam skuad Jerman yang memilih Kahn sebagai pilihan utama dan ia bukan salah dia.

"Apa pun ia persaingan yang cukup baik bersama Kahn selama dalam skuad kebangsaan," katanya.

Ketika Piala Dunia 2006 di Jerman, Lehmann menjadi pilihan pengendali pasukan, Jurgen Klinsman sebagai penjaga gol utama.

Meskipun sekadar meraih tempat ketiga, Lehman beraksi cemerlang ketika itu termasuk ketika menewaskan Argentina 4-2 menerusi penalti di suku akhir.