Pengurus Tottenham, Jose Mourinho, enggan menyalahkan Serge Aurier selepas pemain itu memberikan pihak lawan sepakan penalti dalam kekalahan 0-2 kepada Leicester City malam tadi.

Spurs kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, selepas gagal mempamerkan kebangkitan susulan tewas secara dramatik 1-2 di Anfield, Khamis lalu.

Aurier menjadi punca jaringan lawan pada penghujung babak pertama apabila rempuhannya ke atas Wesley Fofana memberikan Leicester sepakan penalti yang disempurnakan Jamie Vardy.

Selepas jaringan James Maddison dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) kerana ofsaid dalam babak kedua, Vardy melakukan tandukan yang terbias ke tubuh Toby Alderweild untuk menggandakan kelebihan Leicester.

Tottenham buntu mencari jalan bagi kembali bersaing dalam perlawanan itu dan wujud penyesalan mengenai aksi ganas Aurier, yang kini dilabel sebagai pertahanan yang kerap melakukan kesilapan.

Sejak permulaan EPL musim 2017-18, Aurier telah memberikan empat sepakan penalti buat lawan -- hanya David Luiz (5) memegang rekod lebih buruk sepanjang tempoh itu.

Mourinho, bagaimanapun, dalam sidang media selepas perlawanannya berkata: "Adakah ia satu masalah? Ayuh fokus kepada (perlawanan) hari ini.

"Ia satu kesilapan tetapi ia berlaku pada minit ke-45 atau 46. Kemudian ada pemain lain yang melakukan kesilapan di kawasan lain. Saya tidak boleh menyalahkan pemain kerana melakukan kesilapan.

"Penalti itu bukanlah penalti yang dirancang. Ia adalah penalti yang kami berikan. Ia bukan sesuatu yang dirancang, yang dihasilkan daripada satu urutan yang hebat dan bagi saya, ia terkeluar daripada konteks kerana ia adalah tempoh terbaik kami dalam babak itu.

"Kami bermula dengan buruk. 20 minit pertama merupakan prestasi yang amat buruk. Terdapat beberapa kawasan kosong dalam ruang, ketika memberikan tekanan, sikap dan saya langsung tidak menggemarinya.

"Kemudian kami mengubahnya dan menyesuaikan diri dan mempunyai waktu mendominasi dan mencipta peluang. Kemudian penalti itu, di mana ia berada di luar konteks," katanya.

Kemenangan Leicester itu memberikan Brendan Rodgers kemenangan pertama ke atas pasukan yang dibimbing Mourinho sepanjang lapan pertemuan mereka.

Leicester kini berada di tangga kedua liga dengan ketinggalan empat mata di belakang Liverpool.