Tottenham Hotspur akhirnya berjaya mendapatkan pemain baru yang pertama sejak jendela perpindahan mula dibuka pada Jun lalu apabila menandatangani pertahanan Ajax, Davinson Sanchez.

Perpindahan Sanchez telah memecahkan rekod pasukan selepas kontrak selama enam tahun itu melibatkan kos hampir EUR42 juta (RM212 juta), sekaligus mengekalkannya bersama skuad kendalian Mauricio Pochettino sehingga tahun 2023.

Penghijrahan pemain berusia 21 tahun itu kini hanya perlu melalui proses ujian kesihatan serta permit bekerja.

“Saya mahu berterima kasih kepada seluruh pasukan serta penyokong Ajax. Satu langkah yang hebat buat saya untuk berpindah ke sini bagi memperkembangkan karier saya.

“Saya sangat gembira untuk menyertai sebuah pasukan terkenal seperti Tottenham Hotspur dan tidak sabar untuk menemui Pochettino dan semua orang,” kata Sanchez.

Sebelum ini, Pochettino mendedahkan bahawa dia menjangkakan empat muka baru bakal menyertai Spurs sebelum jendela perpindahan ditutup.

Setakat ini, hanya seorang pemain yang telah meninggalkan pasukan, iaitu Kyle Walker, selepas membuat keputusan untuk berhijrah ke Manchester City menerusi satu transaksi rekod perpindahan buat pemain England bernilai GBP50 juta (RM275 juta).