Jika sebut nama penyerang Liverpool, Mohamed Salah sudah pasti ramai tidak akan menjangka dia mempunyai bakat lain selain bola sepak.

Percaya atau tidak, Salah sebenarnya juga cekap di dapur dalam menyediakan masakan.

“Saya pernah tinggal sendirian selama beberapa tahun dan apabila tinggal bersendirian sudah pasti anda perlu tahu memasak.

“Pasta dan tomato adalah masakan pertama saya buat kerana ia mudah, kemudian belajar memasak ayam dan daging. Bolehkan katakan saya boleh memasak.

“Kini juga saya kerap memasak kecuali jika berada dalam kem latihan, mungkin ramai rakan sepasukan tidak tahu masak tetapi mereka tidak pernah tinggal sendirian seperti saya,” kata Salah dalam temubual bersama Stadium Astro untuk rancangan Adam Talks yang disiarkan di Youtube bermula 7 Ogos.



Dalam temubual tersebut, Salah turut berkongsi mengenai persepsi negatif mengenai perpindahannya ke Liverpool pada 2017.

Ketika bersama Chelsea, Salah sekadar meraih dua gol dalam 13 perlawanan pada musim 2014/15.

Tetapi selepas berhijrah secara pinjaman ke Serie A bersama Fiorentina dan kemudian AS Roma, dia tampil lebih matang di Liverpool.

“Saya masih ingat dalam beberapa temurah menjelang aksi pertama beraama Liverpool.

“Ramai ketika itu bertanya mengapa saya kembali ke England kerana saya kurang berjaya ketika bersama Chelsea sebelum ini.

“Kawan-kawan rapat saya juga bertanya mengapa mahu kembali ke England, tetapi inilah saya dan saya berazam untuk berjaya dengan Liverpool.

“Musim pertama kami muncul naib juara Eropah, kemudian juara pada musim berikutnya dan musim ini juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Saya masih simpan pita rakaman temubual saya itu dan kadang kala mendengarnya semula untuk sentiasa mengingati detik sebelum saya mula beraksi dengan Liverpool,” kata Salah.

Bersama Liverpool, Salah meraih 32 gol untuk muncul penjaring terbanyak EPL pada 2017/18, musim berikutnya dia muncul penjaring terbanyak EPL dengan 22 gol bersama rakan sepasukan, Sadio Mane dan penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubemeyang.

Setakat ini Salah sudah meraih 73 gol dalam 108 perlawanan bersama Liverpool, selain pernah meraih anugerah pemain terbaik PFA untuk musim 2017/18.

Dalam pada itu, Salah menyifatkan kapten Liverpool, Jordan Henderson sebagai seorang ketua yang bagus dan juga seorang pemain yang cukup kompetitif.

“Henderson ibarat ada dua personaliti, di atas padang dia memang seorang pemain yang cukup kompetitif.

“Tetapi perwatakan berbeza di luar padang, di mana dia menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang cukup baik dalam pasukan,” kata Salah mengenai pemain tengah antarabangsa England itu.