Mamadou Sakho kembali menyertai Crystal Palace sebagai pemain tetap dari Liverpool dengan menandatangani kontrak selama empat tahun di Selhurst Park.

Pertahanan Perancis itu, yang telah mengharungi musim 2016-17 secara pinjaman di Palace, merupakan antara pemain yang berpengaruh bagi memastikan The Eagles kekal beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sakho membuat perpindahan secara tetap dengan nilai perpindahan sebanyak GBP26 juta (RM143 juta).

Pemain berusia 27 tahun itu telah membuat 80 penampilan untuk Liverpool selepas berhijrah dari Paris Saint-Germain (PSG) pada September 2013 dan menjadi pemain keempat terbaru Frank de Boer yang dibawa masuk ke Palace.

"Saya benar-benar gembira kerana dapat beraksi untuk kelab ini," kata Sakho.

"Saya menikmati cabaran yang dilalui musim lalu, sukar tetapi manis dan ia merupakan pendorong saya untuk mengambil keputusan kembali bersama Palace."