Cristiano Ronaldo disenaraikan dalam skuad Real Madrid untuk aksi Piala Super UEFA berdepan bekas kelabnya, Manchester United, di Skopje.

Pemenang Liga Juara-Juara (UCL) itu akan berdepan pemegang trofi Liga Europa (UEL) awal pagi esok untuk merebut gelaran pertama musim ini.

Real menyenaraikan Ronaldo, yang hanya kembali ke dalam sesi latihan pertama pada Sabtu lalu, selepas dikhabarkan mahu meninggalkan pasukan di dalam skuad 24 pemain bagi pertemuan berdepan bekas pengendali, Jose Mourinho.

Pemain-pemain baru seperti Theo Hernandez dan Dani Ceballos turut tersenarai, dengan Ronaldo akan bergandingan dengan Karim Benzema dan Gareth Bale di jentera serangan.

Sejak menjuarai UCL, penyerang itu menjadi perbualan hangat di media Sepanyol, dengan dia dikaitkan terlibat dengan kes penipuan cukai.

Ronaldo menafikan dakwaan tersebut sehingga menyuarakan pendapatnya sudah tidak mahu beraksi di Sepanyol lagi.

Tetapi bekas bintang Manchester United itu dijangka kekal di Santiago Bernabeu.

Pemain berusia 32 tahun itu telah didakwa mengelak membayar cukai sebanyak EURO14.7 juta (RM74 juta) berkaitan dengan hak imejnya dari 2011 hingga 2014.

Selepas bertemu United, Real akan menghadapi saingan Supercopa de Espana dengan musuh tradisi, Barcelona, sebelum pembukaan saingan LaLiga.