SHEFFIELD UNITED 1 WEST HAM 0

Declan Rice berasakan hampir kesemua pemain dalam Liga Perdana Inggeris mahukan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) disingkirkan daripada liga itu selepas jaringan penyamaan lewat permainan West Ham ke atas Sheffield United dinafikan awal pagi tadi.


Rice berasakan dia sudah mencetuskan jaringan penyamaan Robert Snodgrass di Bramall Lane, namun VAR membatalkan gol itu kerana mendapati bola terlebih dahulu terkena tangan pemain kebangsaan England itu.

Walaupun dia mengakui peraturan berkenaan yang baru ditetapkan musim ini telah digunakan dengan tepat, dia percaya ia satu keputusan yang "gila" dan berasakan pemain dalam liga divisyen utama itu mahu VAR dimansuhkan.

"Mengecewakan. Ia tempat paling sukar untuk hadir dan bermain. Saya fikir kami telah melakukannya dengan baik. Satu mata di sini sudah cukup baik buat kami," katanya kepada Sky Sports.

"Saya telah menyaksikannya kembali apa yang dirakamkan kamera.

"(Pertahanan) menghalakan bola ke tangan saya.

"Saya tahu saya sedang bergerak ke depan tetapi dia menanduk bola ke arah tangan saya.

"Dan sudah pasti apabila anda sedang berlari dengan tangan yang dikeluarkan, ia satu kesalahan tetapi saya tidak berniat untuk menyentuhnya menggunakan tangan.

"Sudah pasti anda meneruskan permainan, (pengadil) Michael Oliver tidak melihatnya.

"VAR melakukan penilaian dan ia satu tamparan yang amat besar.

"Saya tidak fikir ia hanya saya.

"Saya rasa hampir kesemua pemain dalam Liga Perdana berfikiran sama.

"Saya tidak fikir ada sesiapa mahukan VAR dalam permainan.

"Terlalu banyak keputusan yang gila sepanjang musim ini.

"Sudah pasti adakalanya ia tepat tetapi anda dapat lihat di sini, mereka meraikan (keputusan) VAR seperti ia satu jaringan.

"Bola sepak tidak sepatutnya seperti itu.

"Emosi yang ditunjukkan penyokong West Ham ketika kami menyamakan kedudukan adalah emosi sebenar.

"Saya tidak dapat melupakannya, dengan cara dia menghalakan bola ke tangan saya.

"Saya tidak berniat untuk menyentuhnya.

"Saya tidak dapat melupakannya, ia amat gila," katanya.

Sentimen sama turut dilaungkan pengurus West Ham, David Moyes, yang berasakan pasukannya layak untuk mendapatkan satu mata itu.

"Kami amat kecewa kerana pada penghujung permainan, kami menghasilkan gol yang cantik tetapi ia tidak dikira.

"Ia jaringan yang hebat.

"Sesiapa sahaja yang melakukan semakan itu, saya fikir mereka melakukan kesilapan kerana ia satu permainan yang amat baik daripada Declan Rice.

"Di mana anda sepatutnnya meletakkan tangan anda? Mengikatnya di belakang?

"Saya langsung tidak nampak sebarang kesalahan," katanya.



Editor: Muzaffar Musa