Ejen kepada Paul Pogba, Mino Raiola, mendedahkan bahawa dia menjangkakan pemain tengah itu akan meninggalkan Manchester United tahun depan tetapi ia tidak akan berlaku dalam jendela perpindahan Januari ini.

Raiola dalam satu temu bual bersama Tuttosport pada malam sebelum United ditewaskan RB Leipzig dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) mendakwa bahawa tempoh pemain kebangsaan Perancis itu di kelab berkenaan sudah berakhir.

Dia juga menegaskan bahawa pemainnya itu tidak lagi gembira berada di United dan terbuka untuk kembali ke Juventus, di mana Pogba memenangi empat gelaran Serie A sebelum kepulangannya ke Old Trafford.

Bercakap ketika menghadiri Anugerah Golden Boy 2020 semalam, Raiola menjelaskan mengenai komen berkenaan.

A post shared by Paul Labile Pogba (@paulpogba)


"Saya sudah meluahkan pandangan saya dan apa yang saya katakan itu sudah amat jelas. Saya bercakap mengenai musim panas ini. Pemain besar kebanyakannya sukar untuk berpindah pada bulan Januari. Ayuh lihat apa yang akan berlaku musim panas ini.

"Di England, malangnya mereka amat sensitif apabila ia melibatkan Pogba. Tetapi dia akan memiliki masa depan yang cerah," katanya.

Pogba, yang kontraknya bersama United akan tamat pada 2022, turut pernah dikaitkan menjadi sasaran Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid.

Dia diturunkan dalam kedua-dua perlawanan selepas ejennye mengeluarkan komen berkenaan -- bermain selama 90 minit ketika terikat 0-0 dengan Manchester City hujung minggu lalu selepas diturunkan sebagai pemain gantian ketika tewas kepada RB Leipzig.