Paul Pogba adalah antara calon untuk diangkat sebagai ketua pasukan Manchester United musim baru ini, kata pengurus The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer, walaupun spekulasi masa depan pemain tengah itu terus berlegar.

Real Madrid dan bekas kelabnya, Juventus, masing-masing saling dikaitkan dengan pemenang Piala Dunia itu dengan ejennya, Mino Raiola, bulan ini memaklumkan bahawa Pogba mahu meninggalkan Old Trafford.

Bagaimanapun, selepas menyaksikan Pogba memperagakan persembahan memberangsangkan dalam 45 minit permainan ketika menang 2-0 ke atas Perth Glory dalam aksi pemanas badan semalam, Solskjaer mencadangkan dia layak memakai lilitan kapten musim depan.

Ditanya sama ada Pogba adalah pilihan kapten, Solskjaer memberitahu wartawan: "Ya."

Solskjaer menambah: "Saya tidak fikir perlu menjelaskan, kami akan membincangkannya."

Marcus Rashford dan James Garner menemui penyudah untuk United di Perth, yang menyaksikan United selesa menguasai perlawanan itu.

Bercakap mengenai gol pembukaan Rashford, Solskjaer menambah: "Saya amat gembira dengan gol yang dicetaknya (Rashford).

"Ia hasil daripada nalurinya, ia bukanlah satu gol yang cantik tetapi ia tetap merupakan jaringan. Saya sudah mengatakan bahawa Marcus perlu menambah bilangan jaringannya.

"Dia pernah menyumbat gol menarik dan ia juga diperlukan."

Solskjaer juga menawarkan maklumat tentang keadaan jurulatih, Mark Dempsey, yang dimasukkan ke hospital selepas jatuh sakit ketika kem latihan.

"Situasi Mark telah dinilai dan dia telah dibenarkan keluar.

"Saya telah melawatnya hari ini dan kami bersetuju bahawa dia akan dihantar pulang ke rumah sekarang, kami akan melihat keadaannya dengan lebih lanjut apabila kembali."

Pemain sayap, Dan James, yang membuat penampilan pertamanya dalam seragam United, mempamerkan aksi positif ketika bergandingan dengan Ashley Young.

Bekas pemain Swansea City berusia 21 tahun itu berkata: "Sebaik sahaja dimasukkan, saya berpesan kepada pemain sayap bertahan mengenai kemampuan dan corak permainan yang saya gemari.

"Young gemar menyusup ke dalam kubu lawan dan kerap menghantar bola kepada saya. Itu penting kerana dalam beberapa minggu akan datang, saya perlukan keserasian itu untuk membolehkan kami dapat menghasilkan yang terbaik.

"Beberapa kali saya melepasi pertahanan dan itulah yang kami mahu lakukan.

"Kami mahu mencuba dan melepasi pertahanan, bukan setakat menghadapi mereka secara berdepan dan itulah yang dipesan oleh pengurus kepada saya. Adalah penting untuk saya membuktikannya kepada beliau."