Pengurus Everton, Carlo Ancelotti, menegaskan Jordan Pickford tiada niat untuk mencederakan Virgil van Dijk dengan penjaga gol itu berasa amat sedih dengan kecederaan yang menimpa pertahanan Liverpool berkenaan.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu berkemungkinan akan kehilangan pertahanan tengah berkenaan bagi keseluruhan musim ini selepas dia disahkan mengalami kecederaan ligamen lutut dalam pertemuan 'derby' Merseyside itu.

Van Dijk berdepan terjahan keras Pickford pada awal permainan di Goodison Park, Sabtu lalu tetapi penjaga gol England itu tidak menerima sebarang hukuman daripada pegawai perlawanan -- termasuk selepas penggunaan video bantuan pengadil (VAR).

Pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum, melabel terjahan itu sebagai "sememangnya bodoh" sebelum perlawanan mengentang Ajax semalam tetapi Ancelotti tampil bagi mempertahankan pemainnya.

"Untuk menjelaskan keadaan, kami memohon maaf di atas kecederaan Virgil van Dijk," kata Ancelotti dalam Everton TV.

"Setiap daripada kami mendoakan agar dia segera pulih.

"Terdapat kontak di antara dia dengan Jordan Pickford, iaitu kontak yang tidak bernasib baik.

"Tetapi berdasarkan fakta bahawa Liga Perdana Inggeris (EPL) berlangsung terlalu pantas, terdapat kemungkinan untuk pemain tiba sedikit lewat.

"Jordan tiba sedikit lewat tetapi niatnya adalah untuk mengeluarkan bola. Virgil tahu mengenainya.

"Jordan berasa amat sedih, amat kecewa (kerana cederakan Van Dijk).

"Ia terjahan yang kuat, mungkin tidak bernasib baik tetapi dalam bola sepak adakalanya ia berlaku," katanya.