Pickford: Everton mampu atasi Liverpool

By Ammar Hakim 7 June 2020 238
Pickford: Everton mampu atasi Liverpool
Jordan Pickford yakin Everton mempunyai kualiti untuk mengecewakan Liverpool apabila saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) disambung semula.

Aksi Derby Merseyside dijadualkan hujung minggu pertama apabila musim 2019-20 EPL bersambung semula, dengan Everton akan menghadapi skuad kendalian Jurgen Klopp itu 21 Jun ini.

Liverpool hanya memerlukan dua kemenangan untuk bergelar juara liga buat pertama kali sejak tahun 1990, setelah mendahului 25 mata sebelum musim ini ditangguhkan kerana wabak coronavirus.

Walaupun Everton berada di tangga ke-12, Pickford yakin mereka mempunyai skuad yang mampu mengalahkan Liverpool.

"Kami mahu memenangi setiap perlawanan dan perlawanan derby sangat besar bagi peminat dan pemain," katanya kepada Sky Sports News.

"Kami ingin menunjukkan kemampuan sebenar Everton dan kami percaya mempunyai peluang untuk mengalahkan mereka. Kami mengetahui mereka adalah pasukan yang bagus, mereka berada di puncak liga. Kami hanya mahu melakukan yang terbaik dan berusaha merakamkan kemenangan.

"Kami mengetahui mempunyai kemampuan dalam skuad untuk mengalahkan mereka. Kami hanya perlu menampilkan aksi cemerlang untuk diri sendiri dan peminat kami." EPL akan disambung semula 17 Jun ini setelah ditangguh lebih dari tiga bulan.

Pickford, 26, telah menikmati waktu rehat sepanjang penangguhan saingan tetapi pemain antarabangsa England itu sudah bersedia untuk kembali beraksi.

"Jelas sekali amat sukar menghadapi penangguhan saingan tetapi ia membenarkan saya meluangkan masa bersama keluarga," katanya.

"Saya tidak mendapat rehat daripada bola sepak sejak saya mungkin berusia 16 tahun -- sejak itu saya sentiasa memastikan diri dalam keadaan yang terbaik."

 

About Author

Ammar Hakim

Comment