Mikel Arteta percaya kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Manchester City dalam separuh akhir Piala FA di Wembley awal pagi tadi dapat meyakinkan Pierre-Emerick Aubameyang untuk kekal di kelab itu.

Ia selepas penyerang itu memaparkan aksi gemilangnnya dalam memastikan kemenangan berkenaan.

Aubameyang membuktikan ketajamannya di depan gawang dalam setiap babak untuk memastikan City tidak dapat menjulang sebarang trofi domestik buat kali pertama sejak Februari 2018.

Bekas pemain Borussia Dortmund berusia 31 tahun itu masih memiliki baki kontrak setahun bersama The Gunners dan Arteta menyedari kemenangan seperti itu dapat meningkatkan peluang untuk penyerang berkenaan kekal di Arsenal.

"Setiap orang mempunyai momen yang indah dan baik, ada yang baik ada juga yang buruk," katanya dalam sidang media.

"Dengan cara saya melihatnya, apabila saya bercakap dengannya, dia kedengaran agak meyakinkan.

"Amat jelas, jika dia dapat melihat kejayaan dan arah tuju yang kami halakan ke jalan yang tepat, saya fikir dia akan lebih positif mengenainya," katanya.



Aubameyang menciap di Twitter selepas perlawanan itu bagi mencuit pengkritik yang menganggap dia tidak mampu menjaringkan gol ke atas kelab-kelab besar.

"Dia telah membuktikannya di atas padang, bukan sekadar bercakap di atas padang," tambah Arteta.