Setiap pasukan dibenarkan untuk melakukan lima pertukaran daripada sembilan pemain di bangku simpanan dalam separuh akhir dan final Piala EFL.

Perubahan peraturan itu diperkenalkan selepas mendapatkan nasihat daripada Manchester United, Manchester City, Tottenham dan Brentford -- empat pasukan yang akan bersaing dalam separuh akhir edisi 2020-21

Video bantuan pengadil (VAR) juga akan diperkenalkan selepas tidak digunakan dalam pusingan terdahulu.

Liga Bolasepak Inggeris (EFL) dalam satu kenyataan turut menambah: "Setiap pasukan hanya dibenarkan tiga peluang maksimum (tidak termasuk separuh masa, masa penuh dan separuh masa tambahan) untuk membuat penggantian pada waktu biasa. Namun, jika keputusan terikat seri dan memerlukan masa tambahan, peluang tambahan untuk menggunakan lebih pemain gantian dibenarkan tetapi hanya lima pertukaran pemain dibenarkan. "

Keputusan itu dibuat meskipun kebanyakan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) mengundi untuk tidak membenarkan lima pertukaran pemain dalam satu perlawanan liga divisyen utama itu -- peraturan yang kini digunakan dalam kebanyakan kejohanan di sekitar Eropah musim ini.

City akan menentang United di Old Trafford awal pagi Khamis ini manakala Spurs akan menantikan kunjungan Brentford sehari sebelumnya.

Perlawanan separuh akhir musim ini berjalan secara satu pusingan berbanding dua seperti sebelum ini dan akan memerlukan masa tambahan atau penentuan sepakan penalti sekiranya keputusan masih terikat berikutan gangguan kalendar kejohanan bola sepak.

Perlawanan akhir yang pada awalnya dijadualkan bulan depan telah ditunda kepada April depan dan dijangka dapat dihadiri penyokong.