Mikel Arteta berasa senang hati dengan William Saliba dan sedia memberikan pertahanan remaja itu masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Arsenal.

The Gunners memenangi perlumbaan untuk menandatangani Saliba pada Julai 2019 -- dilaporkan menewaskan seteru London utara, Tottenham, namun dia dipinjamkan ke Saint-Etienne sepanjang musim lalu sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

Dia tampil 12 kali buat kelab Ligue 1 itu sebelum kempen domestik ditamatkan awal ekoran ancaman COVID-19 selain dihimpit masalah kaki di antara November dan Januari lalu, bahkan Arsenal tidak memberinya izin untuk tampil dalam final Coupe de France menentang Paris Saint-Germain (PSG), Julai lalu.

Kelibat Saliba tidak kelihatan dalam dua perlawanan awal liga dan dia berpotensi untuk membuat penampilan sulungnya dalam Piala Liga Inggeris (EFL) di Leicester City awal pagi esok, justeru pengurus itu menekankan bahawa dia gembira melihat perkembangan tonggak berusia 19 tahun tersebut.

"Saya rasa William berkembang dengan baik," kata Arteta kepada wartawan.

"Dia semakin dapat menyesuaikan diri di negara ini, bersama kelab. Kita harus ingat bahawa dia telah menempuhi musim yang sangat mencabar tahun lalu apabila dilanda beberapa kecederaan.

"Begitupun, dia akan menjadi tunjang masa depan kami dan kadang-kadang perkara sebegini memerlukan sedikit masa dan kita harus menghormatinya."



Arteta membantu Arsenal menjulang Piala FA dalam kempen lalu dan menambah trofi Perisai Komuniti dalam senarai kabinet kejuaraan di Stadium Emirates pada awal musim ini.

Bagaimanapun, pengurus kelahiran Sepanyol itu -- yang bergelar juara ketika bertindak sebagai pembantu jurulatih di Manchester City ketika pasukan Pep Guardiola tersebut memenangi trofi pada 2017-18 dan 2018-19 -- menyifatkan pentas gelaran Piala EFL tetap menjadi buruan utama mana-mana pasukan.

Ketika ditanya sama ada kelab-kelab besar tidak memandang serius Piala EFL, dia menjawab: "Saya rasa dulu begitu tetapi dalam beberapa musim terakhir ini, jelas persaingan semakin sengit.

"Hanya akan ada satu pemenang sahaja di negara ini yang menyaksikan dominasi wakil Liga Perdana dan banyak kelab yang kecewa, tetapi sekarang semua orang mendambakan gelaran ini.

"Kebanyakan pasukan ketika ini pasti akan mengetengahkan barisan paling ampuh selain kerancakan perlawanan akhir dalam beberapa tahun terakhir ini."