Nicolas Pepe berkata dia benar-benar memohon maaf selepas dilayangkan kad merah ketika Arsenal terikat 0-0 dengan Leeds United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.

Pemain berusia 25 tahun itu dilayangkan kad merah pada minit ke-51 di Elland Road selepas diadapati menanduk Ezgjan Alioski.

Pepe dan Alioski, kedua-duanya menerima mesej kecaman dalam media sosial susulan insiden tanpa bola itu, yang kemudiannya turut menerima kritikan daripada pemain kedua-dua kelab berkenaan.

Pengurus The Gunners, Mikel Arteta, menyifatkan apa yang dilakukan oleh pemain sayap itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan pemain kebangsaan Ivory Coast berkenaan kini melakukan permohonan maaf dalam media sosial susulan kelakuannya.

"Semalam saya telah menyusahkan pasukan saya pada waktu yang genting dalam perlawanan dan saya tiada alasan terhadap kelakuan saya itu," tulis Pepe dalam Instagram.

"Saya benar-benar memohon maaf dan mahu meminta ampun kepada semua penyokong, rakan sepasukan, jurulatih dan semua di kelab ini."

Pepe bergelut dalam saingan musim ini dengan perlawanan menentang Leeds itu merupakan hanya kali kedua dia memulakan perlawanan EPL.

Dia hanya dapat menjaringkan satu gol dan mencipta dua peluang buat rakan sepasukannya biarpun salah satu daripadanya berkesudahan sebagai jaringan.