Pemain bola sepak Uruguay menggesa Persatuan Bolasepak England (FA) menarik balik penggantungan "terkutuk" terhadap penyerang Manchester United, Edinson Cavani.

Pemain berusia 33 tahun itu dihukum gara-gara kirimannya dalam media sosial selepas kemenangan 3-2 ke atas Southampton dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 29 November lalu.

Cavani memanggil seorang rakannya dengan satu perkataan Sepanyol yang kerap digunakan sebagai istilah mesra di Amerika Latin. Pemain kebangsaan Uruguay itu kemudian memadam kiriman berkenaan dan memohon maaf selepas diberitahu bahawa perkataan yang digunakan itu boleh ditafsirkan dengan konotasi perkauman dalam bahasa Inggeris.

FA mengenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan dan denda sebanyak £100,000 (RM544,110) selain arahan untuk menjalani pendidikan secara berdepan sebelum Cavani sekali lagi memohon maaf, namun menegaskan bahawa dia hanya menggunakan perkataan yang mesra kepada seorang rakan "berdasarkan budaya dan gaya hidup saya".

Semalam, wakil Persatuan Pemain Bolasepak Uruguay (AFU), termasuk pertahanan veteran, Diego Godin, mengeluarkan satu kenyataan yang mendakwa FA telah menunjukkan "sikap berat sebelah, dogmatik dan pandangan etnosentrik" dalam menghukum Cavani.

Kenyataan yang dikeluarkan AFU itu berkata: "Yang pertama, kami perlu mengkritik tindakan sewenang-wenangnya Persatuan Bolasepak Inggeris. Jauh dari mengutuk isu perkauman, Persatuan Bolasepak Inggeris sendiri telah melakukan tindakan diskriminasi terhadap budaya dan cara hidup orang-orang Uruguay.

"Edinson Cavani tidak pernah melakukan tindakan yang dapat ditafsirkan sebagai perkauman. Dia hanya menggunakan ungkapan umum di Amerika Latin untuk bermesra dengan orang yang disayangi atau rakan karib.

"Untuk mempertahankan bahawa satu-satunya cara untuk mendapatkan tafsiran yang tentang hidup seperti yang terlintas di fikiran pengurus Persatuan Bolasepak Inggeris sebenarnya adalah satu tindakan diskriminasi yang benar-benar terkutuk dan menentang budaya Uruguay.

"Oleh itu, kami secara terbuka ingin mempertahankan watak Edinson Cavani yang sempurna dan tentu saja budaya negara kami. Kami menentang segala bentuk diskriminasi; namun sayangnya, melalui hukuman itu, Persatuan Bolasepak Inggeris telah memperlihatkan sikap tidak endah dan penghinaan terhadap visi dunia yang pelbagai budaya, menghormati kepelbagaiannya, dengan menerapkan peraturan anti-rasisme yang keliru, secara satu pihak dan tidak berkembang, yang pada asasnya kami sokong tetapi jelas tidak berlaku secara realistik untuk kes yang dimaksudkan di sini.

"Ia bukan hanya menghukum seseorang tetapi seluruh budaya kami, cara hidup kami, yang benar-benar merupakan tindakan diskriminasi dan perkauman.

"Yang terakhir, kami mendesak Persatuan Bolasepak Inggeris untuk segera mengkaji proses menjatuhkan hukuman berkaitan isu-isu ini agar tidak melakukan ketidakadilan yang serupa. Peraturannya harus mempertimbangkan banyaknya cara hidup dan budaya masyarakat. Peraturan pertama untuk memerangi perkauman adalah menghormati cara hidup dan budaya yang berbeza.

"Berdasarkan yang disebutkan di atas, kami meminta FA untuk segera membatalkan hukuman yang dikenakan ke atas Edinson Cavani dan mengembalikan nama baik dan kehormatannya di dunia yang telah dicemari secara tidak adil oleh keputusan yang terkutuk ini."