Mesut Ozil menegaskan bahwa dia tidak akan pernah menyesal atas keputusannya menyertai Arsenal sungguhpun melalui detik kegagalan di kelab itu.

Nama pemain tengah itu tiada dalam senarai skuad kendalian Mikel Arteta tersebut untuk mengharungi kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Europa.

Oktober lalu, Ozil memberi bayangan sedia beralih angin ke Liga Bolasepak Utama (MLS), iaitu DC United, atau ke Turki bersama Fenerbahce dalam jendela perpindahan bulan ini.

Bekas bintang Real Madrid itu pernah menjadi pemain termahal Arsenal selepas dipancing dengan harga £42 juta (RM230j) pada 2013, dan sejak tampil dalam 12 daripada 16 perlawanan pertama di bawah bimbingan Arteta, khidmatnya langsung diabaikan sebaik saingan bersambung selepas penularan COVID-19 Mac lalu.

Prestasi Ozil bagaimanapun gagal mengulangi prestasinya menghasilkan 19 bantuan gol dan 28 peluang keemasan dalam 35 perlawanan EPL musim 2015-16 apabila sekadar menghulurkan sembilan, lapan, dua dan dua bantuan jaringan dalam empat kempen berikutnya.

Namun, musim lalu, dia mencipta 2.36 peluang dalam setiap 90 minit, angka yang lebih baik berbanding pemain kedua paling produktif buat The Gunners dalam senarai itu, Nicolas Pepe (1.79).

Biarpun Ozil kecewa tiada dalam perancangan Arteta sebaik kempen 2020 bersambung Jun lalu, namun juara Piala Dunia bersama Jerman itu tidak akan mengubah keputusannnya menyertai kelab London utara berkenaan.



Tampil dalam soal jawab di Twitter adakah dia mencintai Arsenal, Ozil berkata: "Sudah tentu. Saya melalui banyak tempoh naik turun tetapi saya sama sekali tidak menyesali keputusan menyertai Arsenal.

"Dan sejujurnya, beberapa perlawanan terakhir sebelum COVID-19 melanda pada Februari dan Mac 2020 lalu adalah detik yang benar-benar menggembirakan.

"Saya sangat menikmati detik itu dan saya fikir kami benar-benar meniti laluan yang sangat positif. Tetapi selepas rehat, sayangnya keadaan berubah."