Pengurus Wolves, Nuno Esprito Santo, mendermakan £250,000 (RM1.38 juta) bagi membantu melawan kemiskinan di Wolverhampton.

Nuno, yang mengemudi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sejak 2017, memberikan sumbangan itu kepada Yayasan Wolves untuk membantu melancarkan projek 'Feed Our Pack'.

Projek itu akan membiaya bank makanan pilihan di bandar itu bagi mengurangkan impak daripada kebuluran dan membantu penduduk di kawasan itu yang terjejas dengan pandemik koronavirus.

"Penyokong Wolves dan penduduk Wolverhampton amat baik sejak saya tiba di sini empat tahun lalu dan saya mahu memulangkan sesuatu buat mereka dan membantu mereka yang bergelut sepanjang pandemik ini," kata Nuno.

"Apabila anda hidup di bandar, anda dapat melihat dan mendengar bagaimana ada yang terjejas tetapi ia juga bandar yang hebat di mana penduduknya membantu dan menyokong sesama sendiri dan ini projek yang amat penting buat Yayasan Wolves.

"Kita lebih kuat dengan bersatu dan saya berharap penyokong kita akan berkeinginan untuk menyertai saya dalam memastikan kita menjaga semua orang yang memerlukan dalam komuniti kita dsepanjang waktu sukar ini."

Menjelang perlawanan dengan Crystal Palace hujung minggu ini, Wolves berada di tangga ke-13 Epl dengan 23 mata.