NORWICH CITY 1 LEICESTER 0

Norwich City meningkatkan harapan mereka untuk kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas gol tunggal Jamal Lewis memastikan kemenangan tipis mereka ke atas Leicester City.


Satu-satunya jaringan sumbangan pertahanan kiri itu hadir ketika bertemu Chelsea dalam Piala FA pada 2018 tetapi rembatan rendahnya ke penjuru pintu gol, awal pagi tadi, berjaya mengatasi Kasper Schmeichel ketika permainan di Carrow Road bersisa 20 minit.

Dennis Praet terlebih dahulu menggegar tiang gol tuan rumah ketika Leicester menguasai separuh masa pertama.

Pasukan pelawat terus dirundung kecewa sejurus empat minit permainan bersambung apabila percubaan menarik Kelechi Iheanacho dibatalkan hasil video bantuan pengadil (VAR) selepas penyerang itu didapati menampan bola dengan tangannya.

Bagaimanapun, Schmeichel dua kali dipaksa bertindak cemerlang untuk menepis percubaan kencang Ondrej Duda dan gerakan Norwich yang semakin berbahaya telah membawa kepada jaringan kemenangan itu.


Skuad kendalian Daniel Farke itu menjarakkan diri dari zon penyingkiran dengan kelebihan empat mata sesudah beraksi lebih sekali daripada seteru yang lain sementara Leicester -- yang kehilangan khidmat Jamie Vardy -- kekal di tangga ketiga tetapi kini hanya menang sekali dalam tujuh perlawanan liga terakhir.