Neville: Pertahanan goyah undang kekalahan Manchester United 

By Shaiful Shamsudin 20 September 2020 2640
 Neville: Pertahanan goyah undang kekalahan Manchester United 
MANCHESTER UNITED 1 CRYSTAL PALACE 3 

Gary Neville telah memberi amaran kepada Manchester United bahawa mereka lebih memerlukan pertahanan tengah berbanding Jadon Sancho selepas mempamerkan persembahan buruk dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).


Bekas ketua pasukan The Red Devils itu menganggap pasukan ketika ini tidak berpeluang untuk mendominasi saingan berkenaan dengan gandingan Harry Maguire dan Victor Lindelof menjadi pilihan utama. 

Saranan itu terbukti menjadi kenyataan apabila pasukan kendalian Ole Gunnar Solskjaer tersebut tumbang 1-3 kepada Crystal Palace di Old Trafford, awal pagi tadi.

Andros Townsend membuka tirai jaringan ketika permainan baru berusia tujuh minit tetapi kedudukan tuan rumah semakin parah selepas bola kawalan Jordan Ayew mengenai tangan Lindelof. 

Penjaga gol United, David de Gea , yang tangkas menampan sepakan penalti itu, hampa apabila pengadil mengarahkan tendangan Ayew itu dibuat semula dan kali ini bekas pemain, Wilfred Zaha, menyempurnakan peranan itu. 

Walaupun pemain tengah dari Belanda, Donny van de Beek, cuba merapatkan jurang namun Zaha sekali lagi menjadi duri dalam daging dengan meledak gol ketiga pada minit ke-85. 
 



Selepas menduduki tempat ketiga musim lalu susulan rentetan 14 perlawanan tanpa kalah, United mahu memulakan kempen 2020-21 dengan harapan penamat yang lebih gemilang. 

Mereka berhasrat membawa pemain masuk sayap England dan  Borussia Dortmund, Sancho, Neville sebaliknya berpandangan keutamaan mereka ketika ini harus terletak di tempat lain.

Bercakap di Sky Sports, Neville berkata: "Anda boleh bercakap tentang Jadon Sancho yang anda suka tetapi jika mereka tidak mendapatkan bek tengah yang mampu berlari deras dan bertahan dalam situasi satu lawan satu, mereka tidak akan berpeluang memenangi liga.

"Mereka tidak akan memenangi liga dengan gandingan pertahanan pusat ini. Mereka harus mendapatkan pertahanan tengah yang cepat, dominan di samping Lindelof atau Maguire."

 
United kembali beraksi di peringkat domestik, lima minggu sesudah harapan mereka menjuarai Liga Europa 2019-20 berkecai dalam separuh akhir kepada Sevilla.

Neville berkata, United kelihatan "terketar-ketar", "sangat goyah" dan "mempunyai jurang besar dengan Crystal Palace" daripada segi kecergasan.

Lindelof, pertahanan dari Sweden yang memasuki musim keempatnya di Old Trafford, menjadi sasaran Neville selepas pemain itu memberi ruang kepada Zaha untuk menjaringkan gol kedua dan ketiga Palace.

"Dia tidak cukup kental di sana, Lindelof," katanya lagi.

"Ia situasi 50-50; dia lembik."

Bekas pemain benteng itu juga mempersoalkan apa reaksi United terhadap permulaan mereka yang goyah memandangkan pesaing-pesaing yang lain memulakan kempen dengan bergaya. 

"Ini adalah perkara biasa bagi Manchester United, di belakang tabir, mereka akan bertindak balas -- mereka akan memburu seorang dua pemain lagi untuk memadamkan persoalan di Twitter dan media sosial yang benar-benar terasa bahang, mendidih," katanya.

"Seminggu ini mereka akan terasa bahangnya terutama apabila Liverpool beraksi hari ini, Chelsea telah melakukannya dalam beberapa minggu terakhir, (Gareth) Bale pula akan ke Tottenham.

"Mengapa Manchester United tidak menandatangani pemain yang mereka perlukan untuk memperkuat skuad ini -- sebuah skuad berbakat?"

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment