Jose Mourinho sudah menjadikan Tottenham sebagai pencabar utama perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, kata bekas penjaga gol Spurs, Paul Robinson.

Skuad kendalian Mourinho itu akan melayani kunjungan seteru tradisi, Arsenal, awal pagi Isnin ini dan kemenangan dalam perlawanan itu akan mengukuhkan kedudukan mereka selaku pendahulu liga.

Sebelum ini, pelantikan Mourinho sebagai pengganti Mauricio Pochettino pada November 2019 mencetuskan kontroversi tetapi jurulatih berbangsa Portugis itu telah membuktikan betapa pemilihannya merupakan sesuatu yang berbaloi.

Dengan 19 kemenangan daripada 36 perlawanan liga divisyen utama itu, dia merekodkan 52.8 peratus kemenangan dan kedudukan Tottenham melonjak tinggi berbanding di tangga ke-14 ketika Mourinho mula mengendalikan pasukan itu.

Dan bekas pemain kebangsaan England, Robinson, yang mewakili Spurs sekitar 2004 hingga 2008, memuji usaha pengerusi kelab itu, Daniel Levy, untuk membawa masuk Mourinho sambil berasakan kelab itu kini boleh dianggap sebagai pencabar utama kejuaraan EPL.

"Saya fikir terdapat banyak persoalan ketika Pochettino dipecat ," kata Robinson kepada Stats Perform News.

"Semua tertanya-tanya apabila Mourinho dibawa masuk tetapi saya fikir Daniel Levy wajar diberikan pujian.

"Dia melantik seorang pengurus berkelas dunia, seorang pengurus juara, seorang yang benar-benar tahu cara memenangi trofi, mentaliti yang diperlukan di dalam bilik persalinan.

"Ada sebab Jose dibawa ke Spurs. Pochettino membawa mereka jauh tetapi tidak dapat melepasi batasan.

"Dia (Mourinho) mempunyai mentaliti yang memecahkan batasan itu, dia tidak takut untuk membuat keputusan besar dan dia mendapat sokongan besar daripada pengerusi dalam jendela perpindahan lalu, jadi ia sesuatu yang menarik untuk dilihat.

"Anda lihat kepada skuad yang mereka ada sekarang, mereka benar-benar serius untuk memenangi gelaran tahun ini," katanya.

Spurs hanya tewas sekali, iaitu dalam perlawanan pembukaan musim ini menentang Everton, sebelum merekodkan sembilan perlawanan tanpa kalah -- rekod terbaik mereka dalam liga divisyen utama.

Berdasarkan rekod pertemuan dengan Arsenal, mereka tidak pernah tewas sebanjang enam perlawanan terakhir di laman sendiri.

Rekod Mourinho ketika berdepan Arsenal juga amat baik dengan pengendali berusia 57 tahun itu hanya pernah tewas sekali daripada 17 pertemuan dengan lawan itu dalam EPL.