Pertahanan Tottenham, Matt Doherty, diuji positif COVID-19 ketika mewakili Republik Ireland, satu berita yang pasti akan menimbulkan kemarahan Jose Mourinho.

Doherty tampil untuk negaranya dalam kekalahan perlawanan persahabatan kepada England di Wembley, Jumaat lalu sebelum bangkit membenam Wales 1-0 di Cardiff, kelmarin.

Begitupun, Ireland pada semalam mengumumkan bahawa Doherty termasuk rakan sepasukannya, James McClean, telah disahkan dijangkiti pandemik berkenaan sebelum skuad itu terbang kembali ke Dublin.

Justeru, kedua-duanya tidak akan terlibat menentang Bulgaria sementara garis panduan kuarantin juga beerti khidmat dua pemain itu tidak akan dapat diketengahkan kelab itu hujung minggu ini.

Sehubungan itu, Mourinho perlu merancang pasukannya tanpa Doherty ketika Spurs menyambut kunjungan Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Ahad ini.

Pengurus Portugis itu menjelaskan perasaannya mengenai jadual antarabangsa bulan ini di Instagram miliknya apabila mempamerkan gambarnya sedang bersenam memandangkan prosedur operasi standard (SOP) sesi latihan hanya membenarkan enam pemain terlibat dalam satu masa.

"Minggu bola sepak yang menakjubkan. Emosi yang hebat dalam perlawanan pasukan kebangsaan, aksi persahabatan yang luar biasa dan keselamatan," tulis Mourinho.

"Keputusan ujian COVID-19 hanya diketahui selepas perlawanan dilangsungkan, malah terdapat individu yang tidak dikenali berlari di atas padang ketika sesi pemanas badan pasukan berlangsung dan banyak lagi.

"Sesi latihan di sini pula sebaliknya hanya membenarkan enam pemain terlibat, kini saatnya untuk saya menguruskan diri sendiri."

A post shared by Jose Mourinho (@josemourinho)



Doherty telah memulakan perlawanan liga sebanyak enam kali sejak dipancing daripada Wolves untuk membantu kelab barunya itu menduduki tangga kedua.

Selepas berdepan skuad bimbingan Pep Guardiola itu, kelab London berkenaan akan mengharungi perlawanan peringkat kumpulan Liga Europa menentang Ludogorets pada 26 November disusuli kunjungan ke pangkalan jiran London, Chelsea, kurang 72 jam kemudian.