Jose Mourinho menyertai sesi latihan maya skuad Tottenham semalam untuk memastikan barisannya pemainnya tetap cergas ketika krisis koronavirus baru (Covid-19).

Spurs menerbitkan sebuah video di Twitter yang menunjukkan pengurus Portugis itu berkayuh menggunakan basikal pegun dan juga menggunakan tali getah sebagai senaman regangan.

Mourinho mengawasi pemainnya -- yang berlatih di rumah kerana penularan Covid-19 -- dengan menggunakan skrin layar gergasi.

Masih tidak jelas bilakah mereka akan kembali ke padang latihan Hotspur Way di Enfield dengan United Kingdom (UK) kini berada di bawah sekatan pergerakan dalam usaha membendung penyebaran pandemik itu.


Tottenham tidak beraksi sejak kekalahan 0-3 kepada RB Leipzig pada 10 Mac lalu yang menamatkan mereka perjuangan dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.

Dengan kempen musim ini tergantung, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kelmarin mengumumkan bahawa mereka telah memotong gaji 550 kakitangan bukan pemain pada bulan ini dan depan sebanyak 20 peratus.


Mereka muncul pasukan kedua di England selepas Newcastle United untuk memanfaatkan skim pembiayaan kerajaan itu yang membolehkan pekerja menuntut 80 peratus upah mereka dengan pemotongan maksimum sebanyak £2,500 (RM13,563) sebulan.

Dalam satu kenyataan untuk mengesahkan langkah itu, Pengerusi Spurs, Daniel Levy, amat berharap pemain dapat mengikutinya langkah berkenaan.