Jose Mourinho berkata beliau bersedia untuk mengorbankan gaya permainan untuk meraih mata dalam usaha untuk menjuarai takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Manchester United.

United mempamerkan permulaan yang baik musim ini, meraih kemenangan dalam tiga perlawanan dan telah menjaringkan 10 gol setakat ini.

Tetapi United sedang membuat persiapan berdepan Stoke City, dengan Mourinho bersedia untuk mengutamakan tiga mata daripada gaya permainan yang telah diterapkan oleh pasukan.

"Kami cuba untuk bermain dengan sebaik mungkin," kata Mourinho.

"Jika anda melihat kepada pemenang EPL musim lalu (skuad Chelsea kendalian Antonio Conte), mereka telah mempamerkan gaya permainan menyerang.

"Mereka bertahan dan melakukan serangan balas. Jika berdasarkan kepada keputusan, ini merupakan cara untuk memenangi kejuaraan liga.

"Kami cuba untuk bermain dengan kualiti yang dimiliki oleh pemain-pemain kami. Kami bermain positif, cuba melakukan gerakan yang baik, tetapi sasaran utama adalah memenangi perlawanan. Jika kami perlu bertahan untuk menang, kami akan melakukannya.

"Jika kami menghadapi perlawanan berdepan Stoke dan mereka memberikan tekanan dan mendominasi perlawanan, kami perlu bijak menanganinya."