Pengurus Tottenham, Jose Mourinho, menafikan bertengkar dengan Tanguy Ndombele dalam kemenangan Spurs ke atas West Ham.

Ndombele, merupakan pemain termahal kelab itu yang dipancing daripada Lyon dengan harga £55 juta (RM294.4j) tahun lalu, sekali lagi tidak diturunkan ketika Tottenham mencatat kemenangan 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Bagaimanapun, laporan di Perancis mengatakan pemain tengah itu memberitahu Mourinho bahawa dia tidak lagi mahu bekerjasama dengannya.

Sebaliknya, pengurus Portugis itu menafikannya dengan berkata dalam sidang akhbar: "Tidak. Di bangku simpanan adanya Tanguy, Ryan Sessegnon, Toby Alderweireld, Jan Vertonghen. Siapa lagi? Gedson Fernandes dan mereka tidak dapat beraksi dan itulah bola sepak. Bagi saya, tiada apa-apa.

"Saya mempunyai pemain di bahagian serangan yang memanaskan bangku simpanan seperti Erik Lamela dan Harry Winks, dua pemain ini adalah hebat untuk dibawa masuk dan bergerak di bahagian sayap untuk menawarkan kami lebih ketekalan.

"Mengenai lima pertukaran pemain, beberapa pihak mungkin berpendapat bahawa kami seharusnya melakukan lima pertukaran, anda tidak semestinya melakukannya tetapi anda berpeluang untuk mengetengahkannya.

"Saya berasakan pasukan ini baik-baik saja. Saya tidak pernah percaya bahawa kedudukan 2-0 adalah satu keputusan yang benar-benar selamat kerana sudah tentu pihak lawan mencuba segala-galanya dan satu gol dapat mengubah situasi fikiran kami, ia boleh menyuntik mereka motivasi yang diperlukan pada minit terakhir jadi saya memutuskan untuk memastikan pasukan ini tetap stabil dan tiga pertukaran sudah cukup."




Menurutnya lagi: "Bukan hanya dia, saya juga berusaha melakukan yang terbaik demi pasukan, saya tidak dapat memulakan perlawanan dengan menurunkan 12 atau 13 pemain, saya berusaha melakukan yang terbaik untuk pasukan.

"Kadangkala saya meminta maaf kepada pemain saya yang tidak diletakkan dalam kesebelasan utama kerana saya berasakan kerja berdasarkan sesi dalam latihan, saya sepatutnya memberikan mereka ganjaran yang lebih baik tetapi saya perlu melakukan tugas dengan sebaik mungkin selain saya berasakan dalam dua perlawanan ini, saya tidak memerlukannya khidmat mereka."

Spurs di kedudukan ketujuh, enam mata di belakang Chelsea yang menguasai tangga keempat, selepas gol sendiri Tomas Soucek dan ledakan Harry Kane ke atas West Ham.

Ketika waktu rehat, Mourinho memberi amaran kepada anak buahnya mengenai betapa pentingnya meraih tiga mata selepas mereka gagal menggegar gawang.

"Pertama sekali, tiga mata itu tidak hanya penting, malah getir. Itulah pesanan saya kepada pemain dalam rehat separuh masa," katanya.

"Jangan fikir jika kami gagal memenangi perlawanan ini, kami masih boleh memikirkan peluang yang lain lagi kerana tiga mata malam ini merupakan asasnya selain tidak dibolosi juga bagus."