Mourinho kecewa pemain adakan parti Hari Natal

By Muzaffar Musa 3 January 2021 1077
Mourinho kecewa pemain adakan parti Hari Natal
Jose Mourinho kecewa apabila menyedari beberapa pemain Tottenham, iaitu Sergio Reguilon, Erik Lamela dan Giovani Lo Celso, mengadakan parti Hari Natal yang melanggar undang-undang koronavirus di England.

Gambar tiga pemain Spurs itu mengadakan parti berkenaan, yang turut dihadiri pemain West Ham, Manuel Lanzini, tular di laman sosial sepanjang beberapa hari ini.

Keraian seperti itu melanggar undang-undang COVID-19 yang ditetapkan Kerajaan United Kingdom (UK) di mana mereka yang hadir turut tidak mengendahkan panduan penjarakan sosial yang ditetapkan.

Ketua jurulatih, Mourinho, dengan bermurah hati menghadiahkan Reguilon hidangan babi untuk membantu pemain itu membiasakan diri dalam sambutan Krismas pertamanya di England.

"Saya memberikannya hadiah terbaik, anak babi Portugis, di mana ia amat menarik buat orang Portugis dan Sepanyol," kata Mourinho selepas pasukannya menewakan Leeds United 3-0 malam tadi.

"Saya memberikannya kerana mendengar bahawa dia akan menyambut Krismas secara berseorangan. Itulah yang saya fikirkan mengenainya. Seperti yang anda lihat, dia tidak keseorangan.

"Sebagai satu kelab, kami berasa kecewa. Kami telah memberikan pendidikan buat semua pemain, kami memberikan pemain semua kemudahan dan sudah pasti kami tidak berasa gembira. Ia satu kejutan negatif buat kami," katanya.

Ditanya sama ada dia berang dengan tingkah laku pemainnya, Mourinho menambah: "Saya lebih memilih untuk mengatakan ia satu kekecewaan.

"Kami tahu bagaimana keadaan kami secara dalaman. Kami tidak perlu membuka pintu untuk anda lihat apa yang sedang berlaku secara dalaman, apa yang akan memberikan padah, bagaimana kami akan menangani kejutan negatif seperti ini. Saya rasa kecewa, itu sahaja."



 

About Author

Muzaffar Musa

Comment