Tottenham melantik bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho, sebagai pengganti Mauricio Pochettino.

'The Special One' tiba di Tottenham, yang memecat Pochettino hanya selepas lima bulan kelab London itu beraksi dalam final Liga Juara-Juara.

Tottenham memilih untuk membuat perubahan pada penghujung rehat antarabangsa kali ini berikutan Spurs menghuni kedudukan ke-14 Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 12 perlawanan.

"Saya teruja untuk menyertai kelab dengan warisan yang hebat ini selain keghairahan penyokongnya," kata Mourinho dalam satu kenyataan sejurus dilantik sebagai pengurus hingga akhir musim 2022-23.

"Kualiti yang dimiliki kedua-dua pasukan, baik skuad utama mahupun akademi, menggembirakan saya. Bekerjasama dengan pemain-pemain ini adalah sesuatu yang menarik buat saya."

Mourinho dipecat oleh United pada Disember tahun lalu tetapi bekas pengurus Chelsea itu kembali dalam bidang pengurusan di London, di mana pengurus Portugis berkenaan akan berjuang untuk menyelamatkan musim Tottenham.

Pengurus berusia 56 tahun itu -- pemenang tiga kejuaraan EPL ketika mengemudi seteru London, Chelsea, sebanyak dua kali -- sempat menyaksikan tempoh dua setengah tahunnya sebagai pengurus The Red Devils berakhir susulan persembahan hambar selain laporan pergolakan di dalam bilik persalinan.

Mourinho, yang turut memenangi kejuaraan 'treble' bersama Inter pada 2010 dan menjulang mahkota LaLiga bersama Real Madrid pada musim 2011-12, berbalah dengan bintang United, Paul Pogba, sebelum ditunjukkan jalan keluar di Old Trafford.

Bekas pengurus Porto itu juga sempat dikaitkan dengan Inter sebelum pelantikan Antonio Conte selain disebut-sebut akan ke Bayern Munich berikutan pemecatan Niko Kovac.

Kemunculan semulanya di Madrid turut timbul pada awal pelantikan semula Zinedine Zidane musim lalu, namun beliau akan membuat persediaan pasukan barunya itu bagi kunjungan ke West Ham, Sabtu ini.