Tonggak tengah veteran Liverpool, James Milner melontarkan nada keyakinan tinggi pasukannya sudah sedia untuk memulakan semula saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang tertangguh sejak hujung Mac lalu gara-gara pandemik Covid-19.

Liverpool yang kini mendahului liga dengan 82 mata selepas 29 perlawanan, hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan pertama liga selepas 30 tahun.

Untuk perlawanan pertama apabila EPL bersambung, The Reds akan berdepan seteru setempat, Everton di Goodison Park dengan misi merakam tiga mata penting.

Perlawanan tersebut akan disiarkan di saluran Astro Supersport 3 (CH813 HD & CH833) pada 22 Jun ini jam 2 pagi.

“Daripada segi mental, para pemain sudah bersedia untuk memulakan semula saingan EPL.

“Suasana mungkin berbeza tanpa kelibat penonton, tetapi sebagai pemain kami sudah bersedia memberikan aksi terbaik dan juga menang baki perlawanan liga kami,” kata Milner dalam temubual secara langsung bersama Stadium Astro menerusi laman sosial Facebook pada Selasa.

Skuad Liverpool juga sudah menjalani persiapan rapi dengan mengadakan aksi persahabatan berdepan Blackburn Rovers baru-baru ini yang berakhir dengan kemenangan 6-0.



Liverpool kini diambang kejuaraan EPL sulung mereka pada musim yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Situasi itu kadang-kala membuatkan segelintir peminat kelab pencabar yang lain memperkecilkan kejayaan Liverpool musim ini.

Namun Milner dan rakan sepasukan tidak memperdulikan pandangan seperti itu kerana mereka komited menghadiahkan kejuaraan musim ini buat peminat setia mereka.

Berbekalkan pengalaman selama 18 tahun di EPL, Milner berpeluang bermain di bawah kendalian beberapa pengerus berprofil tinggi.

Bekas pemain Newcastle United, Aston Villa dan Manchester City ini menamakan pengurus Liverpool kini, Jurgen Klopp sebagai antara pengurus terbaik yang pernah mengendalikanya.

“Klopp sudah pasti berada di kalangan pengurus terbaik yang pernah saya bermain.

“Dia mempunyai kaedah sendiri dalam mencanang corak latihan dan juga memastikan semangat sepasukan yang kuat di Liverpool.

“Sir Bobby Robson juga adalah seorang lagi pengurus hebat yang mengendalikan saya, dia yang membawa saya ke Newcastle dan saya banyak belajar dengannya,” kata Milner.

Buat peminat setia Liverpool, jangan lupa untuk saksikan kelibat Milner dan pasukannya dalam siaran lansung Everton berdepan Liverpool dari Goodison Park di saluran Astro Super Sports 813/833 pada 22 Jun ini jam 2 pagi.