Nemanja Matic optimis Paul Pogba akan kekal bersama Manchester United untuk jangka masa yang panjang.

Pemain Serbia itu telah membentuk trio di bahagian tengah yang mengagumkan di samping Pogba dan Bruno Fernandes sejak Liga Perdana Inggeris (EPL) bersambung semula untuk membantu The Red Devils meneruskan rentetan 18 perlawanan tanpa kalah.

Masa depan Pogba di Old Trafford sudah menjadi topik spekulasi sejak sekian lama, apatah lagi ejennya, Mino Raiola, mencetuskan kontroversi pada awal musim 2019-20 di sebalik pemain itu terpinggir akibat kecederaan.

Bagaimanapun, kesan kewangan berikutan penularan COVID-19 selain peningkatan prestasi kelab itu sejak pemenang Piala Dunia berkenaan kembali beraksi dan bergabung dengan pemain baru, Fernandes, telah meningkatkan harapan untuk melihatnya kekal.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, sempat menyatakan keyakinannya terhadap tonggak tengah Perancis itu -- yang memeterai perjanjian hingga 2021 dengan pilihan untuk melanjutkannya selama setahun lagi -- akan menandatangani perjanjian baru dan Matic berpendapat rakan sepasukannya berkenaan sedang menikmati kehidupan di kelab tersebut.



"Saya rasa dia gembira pada masa ini," kata Matic yang baru mencapai kata sepakat berkenaan perjanjian baru dengan United bulan ini, kepada Stats Perform News.

"Apabila anda tercedera dan berada di luar padang, orang akan selalu bercakap sesuatu dan khabar angin akan selalu mengeliling anda, terserah kepada tindakan anda.

"Sebaik sahaja dia kembali berlatih bersama kami dan beraksi, saya rasa dia telah menunjukkan bahawa dia gembira untuk beraksi dan dia merupakan seorang yang hebat.

"Saya rasa Paul sangat penting untuk kekal kerana dia menawarkan kami lebih banyak kualiti. Ini termasuklah keperibadiannya, dia membangkitkan banyak perkara untuk pasukan.

"Sudah tentu, anda tidak pernah tahu apa yang akan berlaku dalam hidup ini tetapi ketika ini saya melihatnya bahagia.

"Saya meinginkannya kekal, saya menaruh harapan itu demi pasukan. Dia seorang pemain yang hebat untuk sebuah kumpulan yang selalu ada keseronokan di sekitarnya. Saya akan berasa gembira dapat melihatnya kekal lama di Manchester United."

Matic menambah: "Dengan kehadiran Bruno, saya berpendapat bahawa ketika ini Paul dapat melakukan apa tugasnya.

"Dia adalah jenis pemain tengah yang mampu bergerak dari satu kotak penalti ke kotak penalti yang lain. Dia bukan hanya pemain tengah menyerang seperti yang difikirkan orang.

"Dia kuat, boleh berlari, merembat dan dia juga mampu bertahan dengan baik, dia dapat membaca tandukan.

"Jadi dengan adanya Bruno, Juan Mata, Jesse Lingard, yang beraksi di depannya, maka pada pendapat saya sebab itulah dia dapat melakukan tugas dengan terbaik.

"Dia adalah pemain serba boleh, jadi saya tidak menganggap dia adalah seorang perancang biasa di belakang penyerang, sebaliknya lebih cenderung kepada peranan seperti pemain nombor lapan.

"Bagi saya. dia adalah salah seorang pemain terbaik di dunia. Oleh itu, saya menjangkakan dia akan menjadi lebih baik musim depan, tetapi apa yang kami lihat dalam beberapa permainannya (sejak kempen EPL diteruskan) dia benar-benar hebat, pemain yang tepat. "