FULHAM 0 CHELSEA 1


Frank Lampard tetap tenang di sebalik kebuntuan Timo Werner mencipta jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) termasuk ketika melepaskan peluang terhidang pada hujung perlawanan ketika Chelsea menang tipis 1-0 ke atas Fulham, awal pagi tadi.


Walaupun pemain antarabangsa Jerman itu mencetak gol ke atas Morecambe dalam kemenangan Piala FA baru-baru ini, ketandusan golnya telah memasuki sembilan perlawanan liga.

Ia merupakan rekod tanpa gol paling lama pernah ditempuhinya sejak mengharungi 11 perlawanan tanpa jaringan pada 2016.

Dia memiliki peluang baik untuk mengakhiri situasi itu ketika menyambut umpanan Christian Pulisic, tetapi percubaannya meliar tatkala hanya berdepan dengan penjaga gol tuan rumah, Alphonse Areola.

Nasib memihak The Blues dan Lampard apabila Mason Mount menjadi wira pasukannya dengan meledak gol tunggal perlawanan.

Justeru, pengurus itu tampil mempertahankan Werner meskipun tidak menyembunyikan kekecewaannya.

Ketika ditanya apakah dia bimbang tentang kesulitan Werner, Lampard memberitahu Sky Sports: "Saya rasa itu normal.

"Jika anda tidak menjaringkan gol seperti yang dihajati -- dia menyumbat gol dalam Piala FA minggu lalu. Itulah yang saya saksikan berkali-kali dalam latihan.

"Dia perlu terus berusaha, inilah satu-satunya jalan keluar buatnya. Kami semua menyokongnya. Sekiranya anda penggempur, anda perlu kembali ke padang latihan, menikmati waktu anda dan kemudian terus berjuang.

"Lambat laun usahanya akan menerjah ke gawang juga kerana dia berkualiti tinggi. Kami akan meletakkannya di posisi di mana dia mampu menyumbangkan gol."




Gol kemenangan kelab dari London itu tercetus ketika menuju baki 12 minit perlawanan, ia hadir agak lewat memandangkan Fulham terpaksa mengharungi permainan dengan 10 pemain sejak minit ke-44 selepas Antonee Robinson dibuang padang atas kekasaran terhadap Cesar Azpilicueta.

Bagaimanapun, Lampard yakin mereka akan mendapatkan gol kemenangan jadi dia menyanjung usaha Mount, yang mencipta tujuh hantaran berharga.

"Saya mempercayai kualiti anak buah," tambahnya.

"Saya kira Mason telah beraksi cemerlang jadi dia sememangnya layak meraih penghargaan ini.

"Saya berasakan lambat laun kami akan mendapatkan gol ekoran tekanan berterusan yang diberikan. Ia memerlukan kesabaran, ketepatan hantaran dan sentuhan pemusnahnya, saya pikir kami berjaya melakukannya.

"Saya membawa masuk Tammy Abraham untuknya menerajui jentera serangan di samping Olivier Giroud. Saya memasukkan Callum (Hudson-Odoi) atas kemampuan gelecekannya. Callum sebenarnya wajar disenaraikan dalam kesebelasan utama.

"Ini bukan satu pemilihan yang mudah."