Mikel Arteta memahami kepentingan Pierre-Emerick Aubameyang buat Arsenal sambil menegaskan pemain itu perlu berada di prestasi tebaik demi masa depan kelab berkenaan.

Aubameyang menandakan kepulangannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak 18 Januari lalu dengan gol hatrik pertamanya dalam kejohanan itu selain mengatasi jumlah 200 gol dalam lima liga utama Eropah ketika Arsenal menewaskan Leeds United 4-2 awal pagi tadi.

Selepas membuka jaringan pada minit ke-13, Aubameyang menggandakan jaringan itu dengan sepakan penalti yang meletakkannya sebagai pemain kesembilan menjaringkan 200 gol dalam liga utama Eropah sejak melakukan penampilan pertama dalam Ligue 1 pada 2009.

Hector Bellerin menambah gol ketiga Arsenal sebelum Aubameyang melengkapkan hatriknya pada dua minit pertama babak kedua -- Pascal Struijk dan Helder Costa kemudian menjaringkan gol buat pasukan pelawat.

Ia merupakan kali pertama skuad kendalian Arteta itu menjaringkan empat gol di Stadium Emirates sejak Julai tahun lalu dan selepas permulaan musim perlahan buat Aubameyang -- disebabkan kecederaan dan masalah peribadi -- pengendali The Gunners itu menjelaskan mengenai kepentingan penyerang berusia 31 tahun itu.

"Saya fikir dia amat hebat hari ini, dia berlatih dengan amat baik sejak minggu lalu, dia kelihatan sudah kembali normal," kata Arteta dalam sidang media.

"Dia kelihatan amat komited dengan latihan, amat bernafsu dan hari ini, dia mendapatkan prestasi terbaiknya, bukan sekadar jaringan tetapi dengan gerakan tanpa bola dan cara dia mengatasi setiap pertahanan Leeds, dia mencipta rentaknya.

"Kami sedar sebahagian besar daripada masa depan kami bergantung kepada prestasi terbaik Auba untuk menjaringkan sebanyak gol yang mungkin.

"Jika dia berada di prestasi seperti ini, kami semakin dekat untuk memenangi perlawanan, itu sudah pasti -- kami tidak boleh hanya bergantung kepadanya tetapi dia merupakan bahagian terbesar dalam susun atur kami dan anda dapat melihatnya hari ini apabila dia dalam prestasi terbaik, dia seorang pemain yang amat sukar untuk dihadapi," katanya.