Penyerang Liverpool, Sadio Mane dan Danny Ings, kembali menjalani latihan penuh bersama skuad utama.

Mane tidak beraksi sejak mengalami kecederaan hamstring dalam aksi derby Merseyside dengan Everton pada April manakala Ings direhatkan sejak November tahun lalu kerana menjalani pembedahan lutut.

Kedua-dua pemain turun berlatih bersama pasukan utama di Melwood dan bakal menyertai The Reds untuk menghadapi aksi persahabatan di Jerman.

Skuad kendalian Jurgen Klopp akan bertemu Hertha Berlin sebelum menghadapi saingan Piala Audi berdepan Bayern Munich dan di antara Napoli atau Atletico Madrid.