Penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang secara terbuka mengakui meminati Manchester United ketika zaman kanak-kanaknya dan pemain idolanya pula adalah bekas penyerang Brazil, Ronaldo.

Bagi Aubameyang, United merupakan pasukan yang mendominasi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika era Sir Alex Ferguson sebagai pengurus, manakala Ronaldo adalah penyerang lengkap di era bola sepak moden.

“Ketika saya kanak-kanak, memang saya menyokong United kerana mereka sentiasa meraih kejuaraan ketika itu.

“Gandingan Andy Cole-Dwight Yorke pula adalah kombinasi serangan yang cukup ampuh ketika itu.

“Ronaldo pula menjadi pemain idaman saya kerana dia boleh melakukan segala-galanya.

“Dia mempunyai fizikal yang baik, rembatan yang kuat, kepantasan serta mampu menjaringkan gol dengan tandukan,” kata Aubameyang ketika temubual bersama Stadium Astro untuk rancangan A Game Of First yang disiarkan di Youtube sejak 5 Ogos lalu.



Meskipun menyokong United pada usia muda, Aubameyang akui dia bangga menyarung jersi Arsenal kini.

Dalam temubual bersama Stadium Astro, penyerang antarabangsa Gabon ini turut berkongsi kisah aksi pertama bersama Arsenal di EPL berdepan Everton pada 2018.

“Saya masih ingat aksi pertama dengan Arsenal, saya tidak begitu sihat ketika itu dan turut kehilangan lima kilogram berat badan.

“Tetapi saya mahu sangat bermain dalam aksi pertama bersama Arsenal dan turut beraksi cemerlang membantu kemenangan 5-1 ke atas Everton serta turut meraih gol pertama untuk kelab,” kata Aubameyang.

Aubameyang turut berkongsi pengalaman pertamanya dengan peminat adalah di Malaysia ketika dia terbabit dengan satu kejohanan bersama AC Milan sekitar 2007.

“Peminat ini datang bertemu saya di hotel penginapan pasukan dan mahu bergambar dengan saya ketika itu.

“Saya bukan pemain bintang ketika itu tapi mungkin kerana saya menjaringkan gol untuk Milan dalam kejohanan tersebut membuatkan dia mahu bergambar dengan saya.

“Sepuluh tahun kemudian ketika bersama Dortmund, saya bertemu lagi dengan peminat itu dan dia tunjukkan gambarnya dengan saya dulu.Ia memang kelakar ketika itu,” kata Aubameyang.